ISMAIL
ISMAIL

Johor Bahru: Iskandar Malaysia merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM17 bilion pada tahun lalu berbanding kadar purata RM30 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim berkata, tahun lalu disifatkan tidak memberangsangkan buat koridor ekonomi berikutan penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan sektor ekonomi, bukan saja kepada Malaysia malah seluruh dunia.

Katanya, nilai pelaburan yang disasarkan untuk tahun ini juga hanya dianggarkan RM15 bilion hingga RM17 bilion berikutan pendemik Covid-19 yang masih berterusan.

"Sasaran ini berdasarkan situasi semasa pandemik yang dijangka masih berada dalam kalangan masyarakat untuk beberapa bulan akan datang atau sehingga memasuki suku kedua tahun ini.

"Kami akan terus bersiap sedia dengan mengadakan lebih banyak perbincangan dan libat urus bersama pelabur berpotensi kerana kami percaya dan sangat positif pandemik ini akan berlalu pergi.

"Apabila kembali normal, kami akan mampu meletakkan semula Iskandar Malaysia di landasan asal," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Peringatan 15 Tahun Iskandar Malaysia (IM15CC) yang dilangsungkan secara maya.

Sejak penubuhan IRDA pada 2006, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan berjumlah RM340.3 bilion setakat Disember tahun lalu dengan 60 peratus atau RM202.2 bilion daripadanya direalisasikan.

Sebanyak 59 peratus adalah pelaburan domestik manakala baki 41 peratus pelaburan asing.

China muncul pelabur tertinggi dengan nilai pelaburan RM54.6 bilion.

Ia diikuti negara jiran, Singapura dengan pelaburan RM24.3 bilion, Amerika Syarikat (RM8.39 bilion), Jepun (RM5.86 bilion) dan beberapa negara lain seperti Belanda, Korea Selatan, India dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:02 AM