Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangkakan sasaran sederhana bagi industri pelaburan pada tahun ini meskipun dalam persekitaran ekonomi mencabar berdasarkan situasi harga minyak semasa dan prestasi serta pertumbuhan baik beberapa sektor termasuk pembuatan tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara sedang merancang beberapa projek pelaburan bernilai kira-kira RM65.1 bilion pada tahun ini dengan sektor pembuatan dijangka menyumbang sebanyak RM51.4 bilion manakala RM13.7 bilion lagi dari sektor perkhidmatan.

“Saya perlu realistik dengan situasi ini dan tidak mahu menetapkan sebarang jangkaan mengenai industri pelaburan pada tahun ini di mana sasaran akan diumumkan selepas kami menilai perkembangan semua projek pelaburan yang bakal dilaksanakan,” katanya pada sidang media bersempena Persidangan Tahunan Media Lembaga Pelaburan Industri Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk menarik pelaburan bernilai RM56 bilion dalam sektor pembuatan pada tahun ini di mana ia adalah sasaran lebih sederhana berbanding RM71.9 bilion pada tahun lalu.

Menurutnya, sektor pembuatan terus menarik tumpuan pelabur dengan pelaburan dilulus dalam sektor terbabit meningkat sebanyak 38 peratus kepada RM71.9 bilion pada tahun lalu berbanding RM52.1 bilion pada 2013.

Dalam perkembangan sama, kerajaan akan memberi fokus terhadap wilayah seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah dengan melaksanakan empat inisiatif bagi meningkatkan pelaburan luar kerana ia masih belum mencukupi untuk menarik keyakinan pelabur luar.

Antara inisiatif terbabit termasuk menyediakan elaun modal 200 peratus bagi perbelanjaan automasi untuk menggalakkan sektor pelaburan terutama bagi industri berasaskan buruh dan pakej insentif khusus untuk kawasan kurang membangun.

Mustapa berkata, kerajaan turut menyediakan insentif cukai bagi hab utama dalam pelaburan inovasi dan teknologi untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, lima tahun pengecualian cukai bagi mengurus, mengekalkan dan menaik taraf kawasan perindustrian.

“Saya berpendapat berbicara dengan pelabur luar mengenai beberapa bahagian negeri yang kurang membangun di Malaysia agak mencabar dan oleh itu, kami berhasrat untuk melaksanakan inisiatif ini dan meningkatkan pelaburan ke negeri-negeri terbabit,” katanya.

Pada tahun lalu, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mencatatkan pelaburan berjumlah RM8 bilion manakala Koridor Pembangunan Sabah (RM2.9 bilion), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM13.7 bilion, Lembah Klang (RM7.1 bilion), Iskandar Malaysia (RM3.6 bilion) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) sebanyak RM9.6 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 10:07 AM