Hanoi: Mahkamah di Vietnam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tujuh orang kerana menipu keluarga anggota tentera Perang Vietnam apabila mendakwa menemui mayat orang tersayang yang mati bertempur dengan memindahkan mayat orang lain ke dalam kubur palsu.

Nguyen Van Thuy, 56, didapati bersalah kelmarin, menipu dan merosakkan kubur dalam perbicaraan selama hanya sehari itu, kata Hakim Vo Ngoc Mau.

Isteri dan empat anggota keluarga Thuy masing-masing dipenjara lima hingga 23 tahun bagi tuduhan sama. Seorang lagi tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tertangguh kerana merosakkan kubur.

Mereka diarahkan membayar semula wang kepada semua mangsa ditipu.

Thuy yang mendakwa mempunyai kuasa paranormal menipu AS$363,000 (RM1.5 juta) bersama rakannya daripada dana kebajikan diwujudkan Bank Vietnam untuk Polisi Sosial, selain mengambil wang daripada 12 keluarga Vietnam kononnya untuk mencari anggota tentera yang mati atau hilang.

Vo yang dihubungi melalui telefon berkata: “Kesalahan mereka serius kerana menyakiti keluarga anggota tentera yang mati dalam pertempuran. Secara tidak langsung ia juga menyakiti semua rakyat Vietnam.”

Katanya, mereka mencuri lebih 70 sisa mayat dalam kubur tidak bernama di beberapa tanah perkuburan perang dan membuat makam palsu dengan barangan peribadi palsu seperti bekas minuman serta topi keledar dengan nama askar yang dicari sesuatu keluarga.

Lebih sejuta askar Vietnam terbunuh dalam perang yang berakhir pada 1975 itu. Sekurang-kurangnya 200,000 mayat masih belum ditemui dan mayat 300,000 askar dikebumikan dalam kubur tidak bernama.

Seorang mangsa, Nguyen Thi Tinh berkata: “Kami gembira kes ini selesai, namun terkejut apabila mengetahui betapa meluasnya skim penipuan itu.

“Ketika mereka menggali kubur didakwa milik bapa saya, kami melihat nama dan unitnya di atas barangan peribadi yang turut berada di dalam. Kami tidak pernah mengesyaki sesuatu tidak kena. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 8:06 AM