TANGKAP layar video menunjukkan Mykola menceritakan kisahnya kepada CNN. FOTO Youtube
TANGKAP layar video menunjukkan Mykola menceritakan kisahnya kepada CNN. FOTO Youtube
Agensi

Kyiv: Seorang warga Ukraine ditembak di muka oleh tentera Rusia sebelum dihumban ke dalam lubang.

Dia yang dicampak bersama abangnya sebelum itu diseksa, tetapi dia berjaya keluar dari 'kubur' itu.

Mirror UK melaporkan Mykola Kulichenko dari kampung Vyshneve di wilayah Bucha di sini, dihumban ke dalam lubang itu bersama abangnya pada 18 Mac lalu.

Tentera Rusia ketika itu percaya bahawa dia sudah mati.

Selepas pengeboman berdekatan, tentera penceroboh bergerak ke seluruh kampung untuk membalas dendam.

Ketika serbuan, Mykola dan dua abangnya, Yevhen dan Dytro berada di rumah.

Tentera penceroboh semakin berang apabila mereka melihat abang Mykola berkhidmat dengan tentera Ukraine, dan pingat perang datuk mereka dipamerkan, lapor Daily Star.

Adik-beradik itu terpaksa berlutut di halaman rumah ketika askar menyelongkar barangan untuk mendapatkan bukti mengaitkan mereka dengan konvoi Rusia yang musnah.

"Mereka mencari hubungan keluarga dengan tentera Ukraine yang menjadi sebab penyeksaan dan hukuman mati pada masa hadapan," kata Mykola kepada CNN.

Mykola berkata, seluruh badannya dipukul dengan batang besi sebelum pistol dimasukkan ke dalam mulutnya.

Kemudian, ketiga-tiga mereka ditembak, dengan dua abang Mykola mati serta-merta, manakala kakaknya, Iryna terselamat kerana berada di rumah jiran ketika itu.

"Darah mengalir melalui badan saya," katanya ketika menceritakan saat peluru mengenai mukanya selepas adik-beradik itu diheret ke kilang gergaji lama untuk dihukum mati.

Peluru melalui pipi di sebelah kanan mukanya, sebelum 'pecah' melalui tisu lembut di bawah telinga kanannya.

Katanya, dia melarikan diri dari lubang yang turut menempatkan mayat abangnya.

Adik-beradik itu sebelum itu 'disimpan' di kilang papan selama tiga hari untuk disoal siasat sebelum dibawa ke luar untuk dihukum bunuh.

"Selepas menembak saya, mereka menendang saya ke dalam kubur lalu menolak saya hingga jatuh. Abang saya kemudiannya dilemparkan ke atas saya," katanya.

Ajaibnya, Mykola terselamat, keluar dari lubang itu, seterusnya berjalan ke kampung terdekat dengan melepasi pusat pemeriksaan dikawal tentera Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 6:30 AM