MANAF (kanan) dikatakan mendapat tawaran PDRM.
MANAF (kanan) dikatakan mendapat tawaran PDRM.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Ditelan mati emak, diluah mati bapa!

Itu dilema penggempur kebangsaan, Abdul Manaf Mamat mengenai pasukan yang mahu diwakili dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Penyerang berusia 27 tahun itu berkata, buat masa sekarang dia masih pemain Terengganu kerana mempunyai kontrak sehingga 2015.

Begitupun, dia juga tidak menolak kemungkinan ‘terpaksa’ meninggalkan pasukan kelahirannya itu sekiranya perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak menemui jalan penyelesaian.

“Buat masa ini status saya tergantung kerana tidak dapat berbincang dengan pengurusan PBSNT akibat sibuk menjalani latihan skuad Harimau Malaya untuk kempen Piala Suzuki AFF.

“Ikutkan memang saya sayang mahu tinggalkan Terengganu kerana sudah lapan tahun bersama mereka, namun saya juga harus memikirkan soal keluarga,” katanya.

Abdul Manaf berkata, dia tidak mahu isu perpindahan menjejaskan perhatian kepada pasukan kebangsaan.

“Saya harap semua pihak dapat memberi sokongan padu kepada saya dan tidak membuat andaian yang bukan-bukan. Saya yakin masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Penyerang kelahiran Kuala Terengganu itu dikatakan tidak memberi kata putus ketika perjumpaan dengan Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Dia dilapor memperoleh tawaran daripada juara Liga Perdana PDRM yang akan bersaing dalam saingan Liga Super 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:07 AM