ANTARA kelebihan lain MIS adalah tempoh masa operasi pembedahan dapat dikurangkan.
ANTARA kelebihan lain MIS adalah tempoh masa operasi pembedahan dapat dikurangkan.
Essa Abu Yamin

PESAKIT yang menjalani pembedahan tulang belakang Minimal Invasif (MIS) akan mencapai keputusan prestasi kembali sihat sehingga 90 peratus jika pembedahan berkenaan dilaksanakan dengan teliti.

Berbanding sebelum ini masyarakat atau pesakit tulang belakang masih lagi 'terperangkap' dengan persepsi bahawa pembedahan berkenaan akan memberi peluang kesembuhan 50/50 peratus.

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Hospital Pantai Cawangan Batu Pahat Dr Mohd Zakhiri Mohd Rashid berkata, persepsi 50/50 peratus itu adalah tidak benar kerana tidak ada satu kajian yang menunjukkan pesakit akan mendapat keputusan sedemikian.

"Kebanyakan pesakit tulang belakang yang berumur kurang daripada 50 tahun juga akan mencapai tahap kesembuhan sehingga 90 peratus dan kadar pemulihan akan lebih cepat selepas menjalani MIS.

"Bagaimanapun, kebanyakan pesakit pembedahan tulang belakang yang sudah berusia menyebabkan kemampuan mereka untuk pulih sepenuhnya agak perlahan," katanya.

Dr Mohd Zakhiri berkata, pembedahan tulang belakang terdahulu digambarkan cukup menyakitkan dan membuatkan pesakit menderita dalam tempoh agak lama.

Ini kerana pembedahan di belakang badan pesakit dilakukan secara belahan terbuka, kemudian pesakit dirawat di unit penjagaan rapi (ICU) selama beberapa hari sebelum dibenarkan berjalan.

"Prosedur MIS masa kini pula membolehkan pesakit menjalani pembedahan tulang belakang mampu bangun dan berjalan seawal enam jam selepas dibedah. Malah, pesakit juga boleh dilepaskan daripada rawatan di hospital selepas sehari dan kembali melakukan rutin harian seperti biasa.

"Tempoh bagi operasi kaedah MIS bergantung pada jenis penyakit dan dapat dilaksanakan dalam masa hampir satu jam sahaja serta bergantung pada segmentasi atau level tulang belakang setiap pesakit.

"Pesakit tidak perlu berasa takut kerana pembedahan MIS hanya melibatkan luka sekecil satu sentimeter sahaja malah luka berkenaan tidak perlu dijahit dan apabila luka berkenaan sudah baik pesakit tidak akan nampak parut luka berkenaan.

BERBANDING pembedahan terbuka, risiko kaedah MIS adalah lebih rendah.
BERBANDING pembedahan terbuka, risiko kaedah MIS adalah lebih rendah.

"Pembedahan tulang belakang pada masa dulu amat menyukarkan pesakit sebelum kaedah MIS diperkenalkan, malah bahagian belakang badan pesakit dibedah secara pemotongan terbuka dan pesakit perlu berehat di atas katil selama berhari- hari sebelum boleh berjalan, selain perlu tinggal di hospital sehingga seminggu lamanya," katanya.

Katanya, kaedah MIS adalah proses pembedahan yang selamat dan paling kurang menyebabkan kerosakan tisu otot dan tisu lain yang normal.

"Ramai pesakit yang sudah menjalani kaedah MIS menunjukkan perubahan kesihatan baik yang ketara berbanding sebelum pembedahan dan prinsip dalam setiap pembedahan adalah untuk tidak menyebabkan kerosakan kepada tisu lain yang normal atau tidak rosak.

"Bagi setiap pesakit tulang belakang, kita sentiasa boleh membantu mengurangkan atau menyelesaikan penyakit itu, walau bagaimanapun, prosedur perlu dipilih berdasarkan kesesuaian untuk mengurangkan kesakitan pada pesakit," katanya.

Tambah beliau, antara kelebihan lain bagi kaedah MIS adalah tempoh masa operasi pembedahan berkenaan dapat dikurangkan, masa untuk tinggal di hospital juga dapat dikurangkan serta risiko jangkitan kuman dan risiko pendarahan dapat diminimakan, malah pesakit boleh bergerak dengan cepat berbanding menggunakan kaedah pembedahan terbuka.

"Itu adalah satu kelebihan kepada pesakit untuk menyelesaikan masalah yang sama tetapi pesakit akan mendapat faedah tambahan yang lebih baik dan kurang berisiko.

"Daripada segi penjagaan selepas pembedahan pula, ianya masih sama seperti proses pembedahan terbuka iaitu pesakit tidak dibenarkan untuk mengangkat barangan berat, menjaga postur badan yang betul dan melakukan latihan untuk menguatkan otot belakang, katanya.

"Berbanding dengan pembedahan terbuka, risiko kaedah MIS adalah lebih rendah, walau bagaimanapun setiap pembedahan mesti ada risiko dan risiko jangkitan kuman amat rendah.

"Untuk mengurangkan risiko berlakunya semula penyakit atau patologi yang sama, terapi fizikal sangat penting kerana ianya akan membantu mengurangkan risiko berlakunya berulang penyakit yang sama.

"Semua pesakit yang menjalani kaedah MIS akan menjalani fisioterapi selepas pembedahan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:30 AM