TULANG patah perlu segera dipasang anduh supaya tidak menyebabkan pergeseran tulang dan pesakit lebih menderita.
TULANG patah perlu segera dipasang anduh supaya tidak menyebabkan pergeseran tulang dan pesakit lebih menderita.
TULANG patah perlu segera dipasang anduh supaya tidak menyebabkan pergeseran tulang dan pesakit lebih menderita.
TULANG patah perlu segera dipasang anduh supaya tidak menyebabkan pergeseran tulang dan pesakit lebih menderita.
PLAT dan skru dilihat menerusi sinar-X untuk menyambung tulang patah.
PLAT dan skru dilihat menerusi sinar-X untuk menyambung tulang patah.
PLAT dan skru untuk menyambung tulang patah.
PLAT dan skru untuk menyambung tulang patah.
TULANG yang patah dipasang anduh supaya tulang tidak berganjak.
TULANG yang patah dipasang anduh supaya tulang tidak berganjak.
Zaitie Satibi


Bayi dilahirkan dengan 270 tulang, namun bilangan tulang ini akan berkurangan kepada 206 bagi membentuk rangka lengkap orang dewasa berikutan sebahagian tulang akan bercantum ketika tumbesaran.

Fungsi tulang kita adalah untuk pergerakan tubuh, menyokong tubuh, melindungi segelintir organ, menghasilkan sel darah, penyimpanan ion dan pengeluaran serta pengawalan hormon.

Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ahmad Hisham berkata, tulang patah atau retak adalah terma perubatan merujuk kepada terputus kesinambungan tulang.

Patah tulang boleh berlaku disebabkan insiden trauma tunggal iaitu tekanan tenaga yang tinggi memberi kesan kepada tulang seperti jatuh dari tempat yang tinggi.

Stress atau tekanan berulang terhadap tulang seperti pelari yang menggunakan kasut yang tidak sesuai dan stress yang berulang kali dialami oleh kaki ketika berlari boleh menyebabkan patah tulang dalam kaki.

Keretakan patologi berlaku apabila tulang menjadi lemah akibat penyakit atau masalah perubatan seperti ketumbuhan. Patah disebabkan tekanan rendah atau trauma yang biasanya menyebabkan retak dalam tulang sihat.

“Ciri-ciri keretakan klinikal kebanyakannya mempunyai sejarah trauma yang jelas berkaitan kesakitan, bengkak, kecacatan atau ketidakupayaan untuk menggunakan anggota badan.

“Ada beberapa kesan lebam dan remuk pada tulang yang patah dan pergerakan anggota badan mungkin akan memburukkan lagi kesakitan.

“Tulang yang disyaki mengalami patah, anggota badan yang terjejas mesti diletakkan di atas anduh untuk mengelak tulang yang patah itu beralih, di samping hujung tulang yang patah (bergerigi dan tajam) mencederakan atau merosakkan tisu di sekelilingnya.

“Selepas memeriksa anggota badan bagi memastikan peredaran darah lancar dan tiada kerosakan saraf, doktor akan melakukan pemeriksaan tulang menggunakan mesin radiografi,” katanya.

Dr Ahmad Hisham berkata, patah terbahagi kepada dua kategori iaitu patah terbuka dan patah tertutup. Jenis patah terbuka, tulang yang patah keluar menembusi kulit dan menyebabkan luka serta pendarahan.

Patah jenis ini mudah dikenal pasti kerana tulang dapat dilihat dengan jelas pada permukaan kulit dan berlaku pendarahan. Biasanya patah ini memerlukan rawatan kecemasan yang mungkin memerlukan pembedahan untuk membersihkan luka dan hujung tulang, implan atau penetap luar untuk menyokong tulang rapat dan pemberian antibiotik untuk menghalang jangkitan.

“Dalam patah tertutup pula, tulang yang patah tidak keluar dan kulit tidak luka, namun ia boleh menyebabkan pendarahan dalaman. Patah tertutup sukar dikenal pasti kerana tulang terletak dalam kulit.

“Ia boleh dikenal pasti melalui tanda-tanda seperti rasa sakit pada bahagian yang cedera, bengkak atau lebam, pendek atau berubah dari bentuk asal dan berlaku pergeseran tulang apabila digerakkan.

“Rawatan untuk patah tertutup sama ada tulang yang patah itu disimen atau diikat anduh atau pembedahan bergantung kepada lokasi patah atau teranjak. Namun, jika tulang yang patah itu tidak berganjak, ia boleh dirawat tanpa pembedahan,” katanya

Sebagai contoh, seorang pesakit yang mengalami patah tertutup pada tulang femur (paha) kiri dan dalam patah jenis ini rawatan terbaik adalah pembedahan dan implan besi dimasukkan untuk menyambung kedua-dua bahagian tulang yang patah.

Katanya, pemulihan tulang yang patah bergantung pada bahagian tulang yang terjejas, corak patah, usia dan masalah kesihatan keseluruhan pesakit.

Penebalan atau pengerasan tisu (kalus) mula kelihatan pada pemeriksaan radiografi selepas dua hing­ga tiga minggu dan patah akan pulih dalam jangka masa enam hingga lapan minggu membabitkan bahagian anggota atas, manakala 12 hingga 16 minggu untuk bahagian anggota bawah

“Doktor akan menawarkan pilihan rawatan yang sedia ada untuk tulang patah dan dalam kebanyakan kes pesakit memilih sama ada simen atau anduh atau pembedahan.

“Namun, dalam jenis patah tertentu pesakit perlu menjalani pembedahan dengan implan seperti patah yang tidak stabil, patah yang beralih membabitkan sendi dan pelbagai keretakan.

“Patah yang tidak stabil apabila tulang yang patah tidak berada pada kedudukan yang tetap dan akan sentiasa beralih walaupun sudah ditarik ke posisi asal. Menyimen tulang yang tidak stabil ini tidak cukup untuk merapatkan sambungan tulang yang patah. Oleh itu, menyambung dengan plat dan skru adalah kaedah terbaik,” katanya.

Patah yang membabitkan sendi memerlukan rawatan pengurangan patah yang tepat, jika tidak ia akan menyebabkan pergerakan sendi yang me­nyakitkan walaupun tulang yang patah itu sudah sembuh.

Dalam kebanyakan kes penggantian patah intra artikular, pengurangan yang tidak mendatangkan kesakitan dan dibuat lebih baik adalah menerusi pembedahan.

Ada kes banyak tulang yang patah membabitkan lebih satu anggota dan ini mungkin merumitkan pesakit untuk membuat rawatan simen kerana akan menyukarkan pergerakan sehingga pesakit perlu bergantung sepenuhnya pada penjaga.

“Dalam keadaan ini, adalah lebih baik pesakit menjalani pembedahan untuk mengurangkan dan membaik tulang yang patah.

Semua tulang yang patah akan pulih selagi hujung tulang yang retak itu bercantum walaupun pesakit tidak mendapatkan rawatan, namun perlu dipastikan tulang pulih dalam posisi yang betul bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik semula,” katanya.

Tahap Pemulihan Tulang

1. Kemusnahan tulang dan pembentukan hematoma

Tahap ini berlaku ketika trauma dan biasanya tisu di sekeliling tulang turut tercedera. Pendarahan akan berlaku pada hujung tulang dan sekeliling tisu yang terkoyak. Pendarahan ini akhirnya membentuk darah beku dikenali hematoma.

2. Inflamasi dan percambahan sel

Pada tahap ini, berlaku pendarahan sel di sekeliling tulang yang patah dan darah beku diserap perlahan-lahan.

3. Pembentukan kalus

Tulang yang baru atau kalus akan mula terbentuk dan menghubungkan jurang antara tulang yang patah. Tulang jenis ini masih lembut dan belum menjadi mineral sepenuhnya.

4. Penyatuan

Dalam keadaan ini, tulang yang lembut akan perlahan-lahan membentuk tulang yang padat dan berupaya menahan beban normal. Pada akhir tahap ini, patah boleh dikatakan sudah pulih dan pesakit berupaya meneruskan aktiviti biasa.

5. Pembentukan semula

Walaupun patah sudah sembuh, akan berlaku pembentukan semula tulang berterusan dan tulang akan kembali ke bentuk asalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:00 AM