TART keju yang cantik dijadikan cenderahati.
TART keju yang cantik dijadikan cenderahati.
Teks dan gambar Kusyi Hirdan


Norashikin Alias diingati kawan-kawan sebagai seorang yang mempunyai senyuman manis juga kebolehannya melukis. Ibu empat anak itu memilih bidang insurans sebagai kerjaya di ibu kota.

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak, kesibukan dengan rumah tangga dan kerja tidak membantutkan jiwa kreatifnya. Dia suka membuat kuih dan hasil kuihnya tidak hanya mementingkan kesedapan semata-mata tetapi juga hasil akhirnya.

Melihat tart jem Norashikin, ia kemas dan cantik tetapi Norashikin tidak hanya gemar membuat tart nanas, dia juga membuat tart keju sebagai mengisi masa lapangnya.

"Sekitar 2011, asalnya saya membantu kawan menjual kuih tart, kemudian apabila dia tidak membuat lagi kuih itu, saya pula menyambung­nya. Saya jual ketika musim raya. Seronok dapat menambah pendapatan. Kemudian saya pergi ke kelas untuk belajar membuat tart keju pula," katanya.

Walaupun ketika menghadiri kelas sudah diberitahu resipinya, menurut Norashikin, resipi yang ada sekarang sudah melalui perubahan demi perubahan mengikut cita rasanya untuk mendapatkan penghasilan terbaik.

"Contohnya mengenai cara untuk melembut dan merangupkan adunan. Melalui percubaan demi percubaan dan penyelidikan, saya dapat petua dengan mengurangkan putih telur. Terlebih putih telur akan menjadikan adunan liat. Mentega pula jangan terlalu lembut, juga jangan pukul terlalu lama. Semua itu mempengaruhi hasil kuih," katanya.

Petua menjadikan tart kejunya lebih sedap tentulah didapati melalui pengalaman membuatnya.

Menurutnya, untuk menghasilkan tart yang lemak, dia menambah susu sejat.

"Saya juga kurangkan rasa manis kerana cara begitu lebih seimbang. Ramai yang tidak suka kalau terlalu manis," tambahnya.

Mendapatkan adunan keju sebagai inti yang sedap juga melalui percubaan beberapa kali.

"Saya banyak buat penyelidikan di Internet mengenai perkongsian resipi. Bagaimana hendak menghasilkan hiasan yang gebu. Rupa-rupanya, mereka menambah sedikit tepung jagung. Untuk hi­lang­kan hanyir pula ditambah sedikit perasa oren," kata­nya.

Membuat tart keju bukanlah mudah kerana ia perlukan perincian dan kesabaran tetapi Norashikin menyukainya. Terkini, dia yang sentiasa kreatif dalam menghasilkan tart keju yang lebih segar, dia menambah pewarna.

"Asalnya saya buat begitu sebab hendak hadiahkan pada saudara yang mengadakan majlis perkahwinan sebagai cenderahati untuk tetamunya. Memang hasilnya cantik dan sesuai sebagai hadiah.

"Buat masa ini, orang terdekat, kawan dan saudara-mara yang sering membuat tempahan. Dari situ ia berkembang sedikit demi sedikit," katanya.

Norashikin menjual 36 biji tart keju dengan harga RM32 hingga RM35. Dia boleh dihubungi menerusi Facebook Shikin Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:01 AM