Kuala Lumpur: Pengarah filem Erma Fatima hari ini menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya yang difailkan Mei lalu, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Jamal Mohd Lokman Sulaiman yang mewakili Erma Fatima selaku plaintif di hadapan Hakim Syarie Mohamad Zaid Abdul Aziz.

"Mahkamah sebelum ini mengarahkan kedua-dua mereka melantik anggota keluarga terdekat sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes perceraian ini.

"Bagaimanapun plaintif (Erma Fatima) bersetuju menarik balik permohonan cerai untuk memberi peluang kepada suaminya membetulkan kesalahan," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Erma Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, dan suaminya, Bade atau Badaruddin Azmi, 51, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam itu memberitahu pasangan berkenaan sudah berbincang secara baik dalam tempoh tiga minggu dan mencapai persetujuan serta keputusan positif.

Erma Fatima memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003.

Pasangan itu bernikah pada 30 November 1990 dan memiliki lima anak angkat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:39 PM