ERMA Fatima ketika hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur bagi kes permohonan cerainya, semalam.
ERMA Fatima ketika hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur bagi kes permohonan cerainya, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil dan Wahi Aziz

Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam mengeluarkan notis amaran terhadap pengarah filem, Bade Azmi berikutan gagal hadir pada sebutan pertama kes permohonan cerai difailkan isterinya, sutradara dan pelakon, Erma Fatima.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memerintahkan demikian berikutan Bade atau nama sebenarnya, Badaruddin Azmi, 51, tidak muncul di mahkamah tanpa alasan munasabah walaupun notis saman diserahkan kepadanya pada 19 Mei lalu.

“Mahkamah meluluskan notis amaran dikeluarkan kepada defendan kerana gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah walaupun saman sudah disempurnakan,” kata Shaiful Azli.

Terdahulu, peguam syarie Jamal Lokman Mohd Sulaiman yang mewakili Erma memaklumkan pihaknya menyerahkan saman kepada pengarah filem KL Menjerit itu Mei lalu.

Susulan itu, pihaknya memohon mahkamah mengeluarkan notis amaran supaya defendan hadir ke mahkamah pada tarikh sebutan akan datang.

“Jika defendan gagal hadir, mohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya,” hujah Jamal Lokman.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan untuk sebutan kes.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, (plaintif) memfailkan permohonan cerai bulan lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Usaha media mendapatkan komen Erma tidak berhasil apabila dia meluru masuk ke kereta dan meninggalkan pekarangan mahkamah bersama anak dan saudaranya sejurus selepas tamat prosiding kes.

Sementara itu, Bade yang dihubungi berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai tindakan Erma memfailkan perceraian pada bulan lalu.

Malah, menurut Bade, dia tidak dimaklumkan sebarang maklumat mengenai perkara itu daripada peguamnya.

Bade juga menafikan berlaku konflik dalam perkahwinannya dengan Erma sehingga membawa perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 10:48 AM