Erma sudah terbiasa dan tidak terasa. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Erma sudah terbiasa dan tidak terasa. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ramlah Zainal


PENGARAH dan pelakon Erma Fatima mengakui tidak berasa sebarang perbezaan menyambut Ramadan kali pertama tanpa kehadiran suami di sisi.

Erma atau nama sebenar Fatimah Rahmad, 50, yang bercerai dengan pengarah Bade Azmi pada Ogos tahun lalu berkata, dia juga tidak terasa kehilangan kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu.

"Saya berasa sama saja dan tiada bezanya menyambut Ramadan seperti tahun sebelumnya.

"Saya tidak terasa kehilangan suami mungkin kerana Bade sendiri sudah menetapkan giliran untuk bersama saya dan anak-anak di rumah selang sehari ketika kami masih suami isteri dulu,”€ katanya kepada Harian Metro.

Pelakon drama bersiri popular Mak Cun ini berkata, dia juga tidak terfikir mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hidupnya ketika ini.

"Dalam hidup saya sekarang, anak-anak adalah harta paling berharga dan saya cukup bahagia bersama mereka.

"Saya tidak mahu menyusahkan diri cari pengganti kerana bukan senang mencari orang yang memahami.

"Setakat ini, tiada mana-mana lelaki pun yang berani mendekati," katanya.

Apapun, kata Erma, rutinnya pada Ramadan ini adalah memasak dan menunaikan solat Tarawih bersama anak-anaknya.

"Saya juga berehat dan tidak bekerja pada bulan yang mulia ini.

"Inilah masanya saya menghabiskan masa berkualiti, berbuka puasa dan bersahur bersama anak-anak.

"Anak-anak akan berasa sedih jika saya tidak dapat berbuka bersama mereka di rumah.

"Sebab itu, saya merancang untuk bawa anak-anak sekali menghadiri majlis buka puasa bersama anak-anak yatim di Kedah minggu ini," katanya.

Bade melafazkan cerai terhadap Erma pada 17 Ogos tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang, selepas 26 tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, Citra, 16, dan Nurain, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 2:13 PM