CEF Hosaini menunjukkan hasil sushi Umi Dragon Roll yang mudah disediakan.
CEF Hosaini menunjukkan hasil sushi Umi Dragon Roll yang mudah disediakan.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Setiap kali adanya pelawaan ke restoran Jepun, penulis tidak pernah menolak. Jika tidak berteman, sanggup penulis bersendirian ke restoran Jepun kegemaran bagi menikmati bertingkat-tingkat pinggan sushi tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Fanatiknya pernah ke satu tahap apabila penulis menghadap makanan Jepun selama lima hari berturut-turut dan rasa jemu sama sekali tidak pernah ada dalam kamus gastronomi kalau membabitkan hidangan dari negara matahari terbit itu.

Namun agak mustahil untuk menyediakannya sendiri. Walaupun beberapa kali cuba meniru resipi di YouTube, pasti ada bahan atau rasa yang kurang.

Kebanyakan bahan mentahnya sukar didapati di pasar raya berdekatan hingga membantutkan semangat untuk menyediakannya di rumah.

Selain itu, pilihan nasi yang digunakan untuk sushi agak rapuh dan isi di dalamnya pula agak padat hingga sukar digulung.

Sudahnya, makan di restoran lebih mudah dan tidak memeningkan kepala.

Bagaimanapun menurut Cef Sous Hotel Grand Lexis, Port Dickson, Negeri Sembilan, Cef Hosaini Husman, menyediakan hidangan Jepun tidaklah sukar.

“Apa yang penting pilihan bahan mentahnya. Makin banyak pasar raya besar yang mula menjual produk import dari Jepun, jadi ia mudah disediakan.

“Telur ikan, wasabi, helaian rumpai laut kering, tepung tempura dan sebagainya mudah didapati, malah harganya berpatutan.

“Berkenaan dengan pilihan nasi pula, sebaiknya dapatkan beras Jepun yang juga makin banyak dijual di pasar raya besar.

“Boleh juga gunakan beras biasa, tetapi perlu diberi perhatian kepada kandungan cuka Jepun di dalamnya agar nasi tidak rapuh atau terlalu melekit ketika digulung,” katanya.

Berikut Cef Hosaini tunjukkan cara bagaimana menghasilkan sushi Umi Dragon Roll menggunakan udang yang tidak memakan masa lama dan mudah disediakan.

Bagi yang tidak gemarkan udang, boleh juga digantikan dengan bahan lain terutama makanan laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:10 AM