Siti Hajar Ahmat
Siti Hajar Ahmat
SUP kimchi yang enak.
SUP kimchi yang enak.
SITI Hajar bersama keluarga menikmati pelbagai menu kimchi untuk hidangan tengah hari.
SITI Hajar bersama keluarga menikmati pelbagai menu kimchi untuk hidangan tengah hari.
BAHAN asas kimchi.
BAHAN asas kimchi.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Salasilah keluarganya berketurunan Melayu-Cina, tapi seleranya terarah kepada menu hidangan tradisional Korea.

Bukan saja minat, tetapi dirinya juga mempunyai kebolehan luar biasa dalam menghasilkan resipi ‘kubis jeruk’ berlada ini.

Jika di negara asal makanan tradisi ini disajikan bersama nasi panas, olahan kreatif pemilik SHA Pink Heart Resources ini pula mengasimilasikan kimchi dengan budaya tempatan.

Siti Hajar Ahmat yang kini antara pencipta ‘Kimchi Malaysia’ menginspirasikan pelbagai resipi kimchi bercita rasa tempatan.

Pandangan jauhnya membuka mata ramai pihak untuk berfikir ‘di luar kotak’ selain mencipta sesuatu yang baru.

Penulis sendiri tidak menduga, kubis yang dijeruk lada ini dapat dipelbagaikan kegunaannya menjadi menu istimewa.

Bertandang di teratak Siti Hajar di Taman Saujana Impian, Kajang, mengubah segala-galanya.

Satu persatu menu kimchi dihidangkan panas membuka selera penulis untuk mencubanya.

Antaranya sup kimchi yang menjadi hidangan ‘signature,’ sayur campur kimchi diolah daripada lada capsicum, saleri dan lobak merah serta siakap kimchi tiga rasa.

Malah, beberapa sajian lain juga dikongsikan peminat hidangan itu menerusi laman sosial Facebook seperti nasi goreng kimchi, sardin kimchi dan omelet telur kimchi.

Jujurnya, semua hidangan itu lazat, namun penulis memberi markah tinggi kepada sup kimchi yang diolah daripada jeruk berkenaan.

Mungkin dengan resipi diberikan Siti Hajar membuka ruang kepada pemilik restoran makanan laut mencuba sup ini untuk sajian mereka.

Tidak begitu pedas atau masam, tetapi sup kimchi ini dapat membuka selera semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga golongan dewasa.

Kimchi dikeluarkan juga selamat dimakan ibu me­ngandung, selain tidak menggunakan cuka.

Jika sushi yang bersalut rumpai laut dan nasi pulut menjadi menu tradisional Jepun, gimbap pula hida­ngan kegemaran masyarakat Korea.

Menggunakan bahan sama, gimbap yang ditambah kimchi dapat membangkitkan selera penggemarnya.

Meskipun tidak sempat menghidangkan gimbap akibat kesuntukan masa, namun bayangan sushi tetap bermain di fikiran penulis.

Siti Hajar turut berkongsi cara mudah menghasil­kan kimchi menggunakan beberapa bahan asas seperti kubis, lobak merah dan putih.

Kubis yang direndam bersama air garam selama enam jam ditus dan digaul bersama lobak merah dan putih serta ditambah formulasi lada kisar.

Ia kemudian diletakkan di luar bilik kira-kira dua hari hingga keluar buih dan diperam ke dalam peti sejuk untuk bertahan lama.

Siti Hajar yang bekerja sepenuh masa dengan sebuah syarikat telekomunikasi berkata tabiatnya suka makan jeruk kubis lada membuka idea mencipta Kimchi Malaysia.

“Saya mengenali kimchi menerusi seorang jiran yang juga warga Korea.

“Sejak itu saya ketagih untuk mendapatkan hidangan berkenaan sebagai pembuka selera,” katanya.

Dia bagaimanapun sukar mendapatkan menu terbabit selepas wanita yang tinggal berdekatan rumahnya berpindah.

Menurutnya, kimchi dilaporkan antara lima makanan terbaik dunia.

“Apa yang dilaporkan memang benar, saya sendiri mengakui perkara itu kerana kimchi baik untuk sistem pencernaan dan mengandungi prebiotik,” katanya.

Siti Hajar berkata, lawatan bersama rakan ke negeri berkenaan pada 2012 membuka matanya untuk mendalami teknik pembuatan kimchi.

“Apa yang saya tunjukkan (demonstrasi) sama apa yang saya pelajari di negara berkenaan.

“Cuma membezakan adalah keadaan cuaca iaitu Korea sejuk dan negara ini panas,” katanya.

Menurutnya, semua bahan digunakan untuk membuat kimchi mudah diperoleh di negara ini.

Pertama kali kimchi berkenaan dijual kepada rakan sepejabat dan ramai yang memberi maklum balas positif.

“Produk berkenaan kemudian dijual menerusi laman sosial Facebook dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Saya menggunakan perkhidmatan penghantaran secara pos laju dengan pengeluarannya menjangkau 20 kilogram seminggu,” katanya.

Memegang slogan Pasti Membuka Selera, produk kimchi dikeluarkan diharap dapat dipasarkan pada skala besar menerusi pembukaan kilangnya di Kajang.

Mereka yang ingin mengetahui produk Bumiputera dan dijamin halal boleh mengunjungi www.shapinkheart.com.my dan FB: kimchimalaysia atau shapinkheart.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 10:38 AM