AZURIN dan sushinya.
AZURIN dan sushinya.
Kusyi Hirdan


Konsep tempahan maya dan penghantaran ke muka pintu sudah menjadi perkara biasa kini. Apa saja boleh ditempah secara maya walaupun produk dari luar negara. Daripada makanan, pakaian, peralatan rumah, barangan elektrik, permainan, emas, pokok, ubat-ubatan hinggalah kenderaan, semuanya boleh ditempah.

Peniaga kecil juga tidak mahu ketinggalan. Tidak mustahil daripada peniaga kecil, melalui trend ini boleh saja menjadi peniaga besar dan berjaya. Masing-masing memikirkan perniagaan terkini, sesuai gaya hidup yang masih mengekalkan kerjaya tetap.

Ada juga yang terbabit dalam perniagaan dalam talian secara tidak sengaja sebagaimana Azurin Hanim Jamaluddin, 37. Sejak memulakannya sekitar tahun lalu, dia sudah berasa seronok. Kesibukan dengan kerjaya, keluarga sebagai isteri dan ibu tidak menghalang minatnya apatah lagi suami amat menggalakkan dan bersama-sama di setiap langkah yang diatur.

Siapa sangka Azurin membawa konsep penghantaran sushi ke negeri tanah tumpahnya, Melaka.

“Semuanya secara tidak sengaja. Nama yang saya gunakan di Facebook ialah Areen Chokolat kerana asalnya yang saya cuba mempromosi ialah jualan coklat. Entah bagaimana, sushi pula yang menjadi,” katanya.

Sushi makanan kegemaran Azurin sekeluarga termasuk empat anaknya. Mereka sering ke restoran sushi atau membelinya di pasar raya.

“Namun apabila isu halal sering menjadi masalah dalam menikmati sushi, saya mengambil keputusan membuatnya sendiri. Selain itu harga makanan di luar juga mahal. Bermulalah saya belajar caranya melalui Internet. Menjadi pula, keluarga suka dan paling penting ia halal!” katanya.

Seperti pengguna laman sosial yang lain, Azurin berkongsi pengalaman baharunya itu bersama temannya. Ia mengundang minat dan ada yang mahu menempah untuk merasa.

“Apa yang saya buat ini memberi peluang mereka untuk menikmati sushi murah, sedap dan halal. Sebenarnya niat asal saya bukanlah hendak berniaga sushi cuma sekadar perkongsian biasa di laman sosial. Rupanya ramai peminat sushi di Melaka.

“Dari situ, tempahan penghantaran sushi kian meningkat. Sekitar 30 hingga 34 bekas untuk hujung minggu. Makanan ini disukai setiap peringkat umur kerana saya turut menyesuaikannya dengan selera Malaysia. Menu baharu yang ditambah ialah perasa sambal.

“Penghantaran hanya dibuat pada hujung minggu. Ada yang menempah dalam kuantiti yang banyak mungkin untuk dimakan bersama keluarga. Paling ramai menempah ialah pelajar kolej kerana ia makanan yang mengenyangkan dan boleh tahan sehari,” katanya.

Tentu saja makanan dari Jepun ini mengenyangkan kerana bahan utama yang perlu ada ialah beras. Berasnya pula daripada jenis khas untuk penyediaan sushi.

SUSHI SAMBAL CITA RASA MELAYU

Jenis sushi yang dihasil­kan Azurin kini termasuk gulungan sushi rumpai laut dengan pelbagai lapisan inti bersama nasi seperti isi ketam, sosej, daging, tuna dan daging. Inari pula atau mangkuk kulit tauhu diisi inti nasi bersama daging pedas, ebiko, tuna, telur dan mayonis serta pelbagai perasa menarik.

“Saya suka menghasilkan sushi mengikut kesukaan anak dan cita rasa orang Melayu. Jenuh juga mencuba pelbagai rasa supaya boleh menjadi pilihan ramai. Harganya perlulah mampu dimiliki iaitu antara RM5 hingga RM10 satu set. Tempahan diterima dari seluruh Melaka, ada juga sampai ke Tangkak,” katanya.

Ibu lulusan bioteknologi pengkhususan biologi botani dari Universiti Sains Malaysia ini semakin seronok mencuba pelbagai resipi sushi walaupun susah mendapat bahan mentahnya di Melaka.

“Mendapatkan produk yang halal dalam penyediaan sushi tidak mudah seperti di Kuala Lumpur. Ada tetapi terhad contohnya rumpai laut,” beritahu Azurin.

Sushi ialah makanan Jepun yang bahan utama­nya nasi dicampur sayuran, daging, buah dan makanan laut yang biasanya mentah. Cara penyediaan begitu banyak dan berbeza mengikut kehendak serta kreativiti sendiri. Ia turut dimakan bersama kicap, jeruk halia dan wasabi.

Pilihan yang diberi oleh Azurin membuatkan sushi lebih mudah dinikmati selain harganya murah.

Menggunakan mangkuk tauhu dan rumpai laut, kulit timun juga gulungan biasa digunakan dalam teknik penghasilan sushi yang menarik. Temui Azurin di FBnya Areen Chokolat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:00 AM