SEBAHAGIAN daripada penaja HPPNK 2017 bergambar bersama Ahmad Shabery (belakang empat dari kiri) dan Tajuddin (belakang lima dari kiri).
SEBAHAGIAN daripada penaja HPPNK 2017 bergambar bersama Ahmad Shabery (belakang empat dari kiri) dan Tajuddin (belakang lima dari kiri).
Mohamad Hussin

BUAT julung kalinya, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 bakal memperkenalkan Festival Makanan Malaysia (MFF) bagi memberi peluang orang ramai menikmati sajian popular di seluruh negara.

HPPNK anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MFF 2017 menerapkan ‘Farms, foods, drinks and experience’ antara elemen penting kepada perjalanan industri makanan di negara ini.

Beliau berkata, ia satu ekspo hidangan dari seluruh negara dan kepelbagaian produk makanan serta untuk menghargai usaha seluruh komuniti di sebalik industri makanan di Malaysia.

“Melalui MFF ini, pengunjung berpeluang menikmati sajian makanan yang disediakan di samping dapat mendalami situasi pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan tempatan (Farm-to-Fork).

“Acara empat hari itu bakal menampilkan 850 gerai pameran dan jualan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran HPPNK 2017, di MAEPS, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Dr Ismail Bakar.

Ahmad Shabery berkata, HPPNK yang bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita (Our Food Our Future) menyasarkan 500,000 pengunjung dan mampu menjana pendapatan hingga RM30 juta.

“Kementerian yakin sasaran pengunjung ke HPPNK 2017 dapat dicapai memandangkan sambutan ini diadakan di MAEPS Serdang dengan kemudahan dan pengisian program yang menarik minat pengunjung.

“Sambutan ini juga bakal mengiktiraf wira tani negara dan meraikan makanan terbaik negara ke satu tahap tertinggi menerusi anugerah yang dipertandingkan.

“Melalui HPPNK, kementerian bakal memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik peladang, penternak dan nelayan yang menghasilkan produk serta inovasi pertanian dalam membantu menjamin sekuriti dan kedaulatan makanan negara,” katanya.

Menurutnya, kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) memberi keyakinan untuk menjadikan HPPNK kali ini lebih besar daripada edisi sebelumnya.

“Kali ini, MOA bakal menampilkan kelainan dengan pengisian program yang dapat menarik minat orang ramai menyertai bidang pertanian.

“Ia selaras hasrat kerajaan ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50). Kami juga mensasarkan pembabitan belia dalam bidang pertanian terus dipertingkat menjelang 2050,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, beliau berharap HPPNK 2017 dan MFF 2017 dapat menyediakan pelbagai ruang untuk perniagaan, pelaburan, kerjasama di samping memberi platform yang ideal melancarkan produk.

“Ia termasuk perkhidmatan baru dan inovatif di samping membina perkongsian strategik bagi meningkatkan daya saing pasaran,” katanya.

Anda yang berminat menjadi pempamer, pengusaha dan rakan strategik dalam HPPNK boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook, Twitter dan Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:41 AM