MOHD Zolquarnain Ismail, 48, (kiri) dan K Ramananaidu masing-masing menerima Anugerah Nelayan Jaya dan Anugerah Agropreneur Muda Jaya.
MOHD Zolquarnain Ismail, 48, (kiri) dan K Ramananaidu masing-masing menerima Anugerah Nelayan Jaya dan Anugerah Agropreneur Muda Jaya.
AHMAD Bashah memotong daging lembu sambil perhatikan isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad (kiri).
AHMAD Bashah memotong daging lembu sambil perhatikan isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad (kiri).
ORANG ramai melihat ayam Poland yang ditunjukkan pengusaha unggas eksotik, Ishak Yahya (kanan).
ORANG ramai melihat ayam Poland yang ditunjukkan pengusaha unggas eksotik, Ishak Yahya (kanan).
Muhaamad Hafis Nawawi

Menjelang tahun 2020, pertambahan penduduk negara dijangka mencecah sehingga 35 juta orang. Ia menjadi cabaran kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memastikan bekalan makanan mencukupi.

Kekurangan tanah disebabkan pembangunan pesat menyebabkan banyak tanah pertanian seperti sawah kini bertukar status kepada tanah pembangunan sama ada digunakan untuk projek perumahan atau perindustrian.

Ini menjadi sebahagian halangan untuk mempertingkatkan pengeluaran makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pada masa ini jumlah tanah kian berkurangan disebabkan pembangunan pesat yang tidak dapat dielakkan akibat pertambahan penduduk dan perkembangan ekonomi.

“Banyak tanah pertanian seperti tanaman padi kini bertukar status kepada tanah pembangunan untuk tujuan projek perumahan, pelancongan dan industri, namun ia tidak diganti semula.

“Hal ini menyebabkan ia menjadi halangan kepada kementerian untuk mempertingkatkan pengeluaran makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2016 di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Suraya Yaacob.

Tajuddin berkata, pelbagai lagi cabaran lain yang perlu dihadapi antaranya perubahan iklim yang tidak menentu turut memberikan impak kepada pertanian.

“Ini termasuk kemarau berpanjangan yang melanda baru-baru ini sedikit sebanyak merencatkan pembangunan pertanian negara.

“Pendekatan kita perlu berubah jika ingin kekal relevan dalam menghadapi cabaran ini. Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dalam bidang pertanian.

“Disebabkan itu, pelbagai inovasi, teknologi dan mekanisasi perlu diperkenalkan serta digunakan,” katanya.

Menurutnya, kaedah penangkapan dan penanaman lama tidak boleh digunakan lagi jika mahu meningkatkan hasil pengeluaran.

“Pelbagai jentera moden boleh digunakan manakala teknologi terkini dapat diaplikasikan untuk meningkatkan hasil.

“Sebagai contoh tanaman kini boleh ditanam di dalam beg semaian yang tidak memerlukan tanah luas, namun dapat mengeluarkan hasil banyak sebagai langkah meningkatkan bekalan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata, program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan antara lain bertujuan menggarap transformasi Pertanian ke Perniagaan Tani yang menjadi teras utama ke arah pembangunan sektor pertanian moden, dinamik dan berdaya saing.

“Sumbangan ekonomi lebih besar kepada negara boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti seperti pameran, jualan dan sebagainya.

“Selain itu, kemasyuran pertanian di Kedah yang terkenal dengan jolokan Negeri Jelapang Padi perlu dikekalkan agar kelestarian bekalan makanan negara terjamin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, HPPNK memberi peluang kepada peladang, penternak dan nelayan meningkatkan usaha setiap kali ia diadakan.

“Ia melalui pembelajaran teknologi baru, mencari ruang pemasaran, mempamer dan mempromosi produk masing-masing dan sebagainya.

“Ini menunjukkan komitmen dan sokongan peladang, penternak dan nelayan terhadap bidang pertanian tidak boleh dinafikan.

“Dalam hal ini kerajaan sentiasa komited untuk terus membantu dan terus membina usahawan di sektor pertanian dan industri asas tani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 10:56 AM