HONG (kiri) senyum ketika dibawa ke mahkamah.
HONG (kiri) senyum ketika dibawa ke mahkamah.

Phnom Penh: Seorang senator pembangkang Kemboja dibicarakan semalam bagi kenyataan yang dibuat di Facebook mengkritik perjanjian sempadan dengan Vietnam berusia 36 tahun.

Hong Sok Hour berdepan hukuman penjara sehingga 17 tahun dan ditahan pada 15 Ogos lalu sebagai sebahagian daripada beberapa tindakan diambil terhadap penentang Perdana Menteri Hun Sen.

Pada awal prosiding, senator dari Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja itu memohon dibenarkan jaminan kerana menghidap darah tinggi selain masalah perubatan lain yang memerlukan rawatan serta ubat tertentu yang sukar diterima di dalam penjara.

“Saya tidak akan lari jika dibenarkan jaminan,” katanya.

Hakim Ros Piseth bagaimanapun menolak permohonannya itu.

Hong ditahan selepas Hun Sen menuduhnya derhaka kerana memuat naik kenyataan itu yang turut termasuk teks didakwa daripada perjanjian pada 1979 dengan Vietnam yang kononnya mengisytiharkan sempadan bersama dua negara itu akan dibubarkan.

Hun Sen yang menjadi menteri luar pada tahun berkenaan - ketika kerajaan Kemboja dilantik pasukan tentera Vietnam yang menjajah negara itu - menegaskan perkara itu satu penipuan.

Hong didakwa atas tiga tuduhan iaitu memalsukan dokumen awam, menggunakan dokumen palsu dan menghasut kekacauan. Setiap tuduhan masing-masing membawa hukuman maksimum 10, lima dan dua tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:16 AM