HUN Sen memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena lawatan kerja ke Malaysia. FOTO Fariz Iswadi Ismail
HUN Sen memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena lawatan kerja ke Malaysia. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Malaysia dan Kemboja bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian cukai berganda dan pemerdagangan manusia secepat mungkin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama empat hari.

"Dalam pertemuan itu, kerajaan juga bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Kemboja bagi membenarkan lebih ramai pekerja dari negara itu bekerja di Malaysia terutama dalam bidang pembantu rumah.

"Selain itu, kerajaan Kemboja juga turut menunjukkan minat dalam pengeluaran makanan halal, jadi saya memaklumkan kerajaan bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran dalm industri ini," katanya pada sidang media bersama Hun Sen di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Hun Sen dan isterinya, Bun Rany tiba pada Rabu untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia ke-25 mengenai ASEAN di Kuala Lumpur.

Terdahulu beliau diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, dan diperkenalkan kepada barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan dan diplomat asing yang hadir.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan perbincangan dan menandatangi tiga Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian, program kesukarelawan serta kerjasama dalam bidang penyiaran dan maklumat.

Najib berkata, jumlah pelaburan Malaysia di Kemboja ketika ini adalah AS$4.3 bilion (RM17.85 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 1:15 PM