Anak PM Kemboja, Hun Manet. - FOTO Reuters
Anak PM Kemboja, Hun Manet. - FOTO Reuters
Bernama-Xinhua

Phnom Penh: Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen memenangi 120 daripada 125 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum baru-baru ini, menurut keputusan rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) pada Sabtu.

Parti Funcinpec Putera Norodom Chakravuth memperoleh baki lima kerusi, menurut keputusan yang diumumkan menerusi saluran Televisyen Kebangsaan Kemboja yang dikendalikan kerajaan.

"Ya, keputusan rasmi menunjukkan bahawa CPP memenangi 120 kerusi Parlimen dan Parti Funcinpec memperoleh lima kerusi pada pilihan raya umum 23 Julai," kata jurucakap NEC, Dim Sovannarom kepada Xinhua.

Sebanyak 18 parti politik bertanding dalam pilihan raya umum ketujuh itu.

CPP memperoleh hampir 6.4 juta undi, atau 82.3 peratus, daripada jumlah undi sah, dan Parti Funcinpec menerima 716,490 undi, atau 9.2 peratus, menurut NEC.

Hun Sen, yang telah berkhidmat sebagai perdana menteri Kemboja selama lebih 38 tahun, mengumumkan bahawa beliau akan berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada anak sulungnya Hun Manet.

Bagaimanapun, pemimpin berusia 70 tahun itu berkata beliau akan kekal sebagai presiden CPP dan juga akan memegang jawatan Presiden Dewan Negara selepas Pilihan Raya Senat pada 25 Februari tahun depan.

Hun Sen berkata, Dewan Negara yang baharu akan bersidang kali pertama pada 21 Ogos dan kerajaan baharu pimpinan Hun Manet akan mengangkat sumpah pada 22 Ogos.

Hun Manet, 45, kini merupakan ahli Jawatankuasa Tetap CPP dan timbalan ketua komander Angkatan Tentera Diraja Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 1:26 PM