Anwar Ibrahim bersama Hun Manet di perkarangan Bangunan Perdana Putra hari ini sempena lawatan rasmi sehari Perdana Menteri Kemboja itu ke Malaysia. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim bersama Hun Manet di perkarangan Bangunan Perdana Putra hari ini sempena lawatan rasmi sehari Perdana Menteri Kemboja itu ke Malaysia. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi selama sehari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat khas yang membawa Hun Manet dan delegasinya mendarat pada 9.30 pagi ini di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini,

Beliau disambut Menteri Digital Gobind Singh Deo, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Duta Besar Kemboja ke Malaysia Ouk Chandara.

Hun Manet kemudian memeriksa kawalan kehormatan setempat terdiri daripada dua pegawai dan 25 anggota dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Khairul Fakhzan Zainul Abidin dan Leftenan Muhammad Ariff Mohamad Sholeh.

Semasa lawatan sulungnya itu ke negara ini, Hun Manet yang dilantik pada Ogos 2023 bagi menggantikan bapanya Hun Sen, akan menerima sambutan rasmi yang dihadiri Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar dan menyaksikan pertukaran memorandum (MoU) dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Anwar bagi meraikan Hun Manet.

Hun Manet turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Johari Abdul.

Acara lawatan rasmi Hun Manet akan diakhiri dengan Forum Perniagaan Malaysia-Kemboja, yang merupakan anjuran Dewan Perniagaan Kemboja dan Majlis Perniagaan Malaysia di Kemboja.

Pada Mac 2023, Anwar telah mengadakan lawatan rasmi dan sulungnya ke Kemboja atas undangan perdana menteri ketika itu, Hun Sen.

Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Hun Manet memaklumkan antara perkara yang akan dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu ialah kemajuan hubungan dua hala; kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertanian dan komoditi; industri halal; tenaga; keselamatan; komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu akan memberi nilai tambah ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala serta kerjasama serantau ASEAN.

Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 serta menjalinkan kerjasama dalam pelbagai sektor antaranya perdagangan, pelaburan, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pada 2023, Kemboja merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai dagangan dua hala Malaysia-Kemboja direkodkan sebanyak RM3.02 bilion dengan eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, iaitu peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pelbagai syarikat Malaysia juga telah melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:06 PM