ZAQUAN (kiri) konsisten pertahan benteng JDT II.
ZAQUAN (kiri) konsisten pertahan benteng JDT II.

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menyimpan tekad mahu menidakkan impian Terengganu memburu kemenangan pertama apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Ketua jurulatih Johor DT II, Nenad Bacina berkata kesebelasan terbaik yang bakal diturunkan bukan saja memburu kemenangan kedua berturut-turut selepas menjinakkan Kedah 3-2, baru-baru ini, sebaliknya perlu mengimbang kekuatan Terengganu.

Justeru, beliau mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak terlalu dibuai kegembiraan selepas melakar kemenangan pertama pada saingan kumpulan itu kerana ada tiga lagi tugas getir perlu diharungi termasuk berdepan Terengganu, malam ini, LionsXII dan Kedah, penghujung bulan ini.

“Kami tidak boleh terlalu selesa kerana ada tugas lebih rumit menanti iaitu berdepan Terengganu yang pastinya akan turun habis-habisan.

“Belum pasti lagi sama ada Kamarul Afiq Kamaruddin akan diturunkan walaupun dia tampak semakin pulih daripada kecederaan. Kemungkinan berada di bangku simpanan tetap ada.

“Saya lihat semangat pemain begitu tinggi walaupun kami tahu Terengganu pasukan hebat. Kami akan berusaha memberi tentangan pada perlawanan itu,” katanya.

Bacina juga tampak lega dengan prestasi Zaquan Adha Abd Radzak yang begitu konsisten selepas mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan Kedah sehingga berjaya menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu.

Beliau juga mengingatkan pemain JDT II supaya tidak memberi ruang kepada penyerang utama Terengganu, Paulo Rangel yang sudah menunjukkan taring selepas menjaringkan dua gol ketika menentang LionsXII, baru-baru ini.

“Persiapan Terengganu lebih rapi selepas mereka ada hampir seminggu mengadakan latihan berbanding kami hanya dua hari.

“Apapun kami akan berusaha memberi tentangan sengit dan berharap segala perancangan taktikal akan membuahkan hasil malam ini,” kata Bacina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:00 AM