Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Satu jalan penyelesaian yang konklusif perlu disegerakan demi menjamin hak rakyat Palestin dan boleh dilakukan menerusi desakan pemimpin dunia.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata, ia sudah tentu akan membawa satu nafas dan harapan baru ke arah keamanan dunia segajat.

Katanya, yang terbaru pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa di Al-Quds oleh rejim Israel jelas membuktikan semua provisi undang-undang dicabuli dan ia sebahagian daripada rancangan sistematik Zionis menindas rakyat Palestin.

"Pemuda amat berharap dengan desakan pemimpin-pemimpin dunia dan di bawah kepimpinan Presiden Obama , Amerika Syarikat tidak lagi menutup sebelah mata dan mengamalkan sikap pilih kasih serta tidak peduli terhadap perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Presiden Aman Malaysia berkata, Pemuda UMNO menyambut baik desakan pemimpin dunia yang terus mengutuk keganasan rejim Israel ini di mesyuarat agung PBB dan akan terus menyuarakan pendirian kepada segala bentuk kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 10:21 AM