DARI kiri Aiman, Irfan, Syamil, Farhan dan Suhayl.
DARI kiri Aiman, Irfan, Syamil, Farhan dan Suhayl.
BERSAMA buku Profazz yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
BERSAMA buku Profazz yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Wajah tenang si ibu melayan ketiga-tiga anak lelaki, kelihatan cukup bersahaja. Sambil berbual mesra, perbualan disulam gelak tawa tatkala mengingat kisah lalu ketika mereka masih kecil.

Bagi Siti Nadzrah Sheh Omar, dia sangat bersyukur kerana segala penat lelah, usaha gigih serta semangat yang tidak pernah luntur mendidik kelima-lima anak lelakinya untuk bergelar huffaz dan menjawat jawatan profesional dapat dilaksanakan.

Ibarat menuai hasil, selepas hampir 30 tahun memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga, sekarang dia dapat menikmati kehidupan dengan tenang dan bahagia di samping insan tersayang.

Sejak mengandungkan anak pertama, Siti Nadzrah menetapkan impian mendidik anak menjadi penghafaz al-Quran. Bagi merealisasikan hasrat itu sebaik saja anak sulung Aiman Salmi dilahirkan, dia tekad berhenti kerja dan memilih bekerja dari rumah sebagai penterjemah.

Malah kelahiran tiga anak pertama Aiman, Syamil dan Irfan, selang setahun dan perbezaan usia tiga dan dua tahun untuk anak seterusnya iaitu Farhan dan Suhayl menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberikan sepenuh perhatian kepada lima anaknya.

“Apatah lagi semuanya lelaki dengan jarak usia yang rapat, ditambah kesukaran mendapatkan pengasuh menambah tekad saya mengasuh anak sendiri. Walaupun terpaksa melepaskan jawatan dalam sektor korporat pada gaji yang tinggi, saya berasakan sumbangan dalam pembangunan keluarga lebih penting daripada kepuasan mempunyai kerjaya sendiri.

“Ketika itu saya berpendapat tiada kompromi, seorang ibu perlu berada di rumah mendidik anak ketika mereka masih kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang. Cukuplah ayah saja keluar mencari rezeki,” katanya.

Sebagai ibu, Siti Nadzrah sangat yakin, bagi menjadikan anak seorang huffaz dia harus memastikan semua keperluan bukan saja pendidikan, tetapi pemakanan disediakan dengan penuh ikhlas, kasih sayang disertai doa. Malah, sejak kecil dia menyuapkan makanan ke mulut anak, orang pertama mendengar cerita apabila mereka pulang dari sekolah serta menjadi pendengar setia segala pengalaman kisah suka dan duka.

Siti Nadzrah mengajar sendiri semua anaknya mengaji al-Quran pada setiap hari dan memastikan mereka membuat kerja sekolah. Walaupun ada mata pelajaran yang sudah dilupakan, wanita ini sanggup belajar kembali subjek yang pernah dipelajari di sekolah 20 hingga 30 tahun dulu seperti Matematik Tambahan, Sains atau Sejarah hanya semata-mata untuk mengajar anak sendiri.

Walaupun pernah menetap di United Kingdom (UK) mengikut suami yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah, Siti Nadzrah tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mendidik anak mengikut acuan sendiri. Dengan ketiadaan bahan bacaan berunsur Islam, kekurangan ustazah dan ustaz yang mampu mengajar al-Quran, ia tidak mematahkan semangat untuk terus menjadikan anak seorang huffaz.

“Ketika itu anak saya tiga orang berusia tiga, empat dan lima tahun. Kami menetap di UK selama tiga tahun. Ini bermakna apabila balik ke Malaysia, anak saya akan menginjak ke usia enam, tujuh dan lapan. Dua lagi anak walaupun lahir di sana, saya tidak terlalu bimbang kerana mereka masih kecil. Saya cuba untuk tidak membiarkan anak tanpa pendidikan asas solat dan mengaji al-Quran.

“Oleh itu, saya sendiri mengajar mereka secara konsisten setiap hari agar mereka tahu tanggungjawab sebagai Muslim. Selagi mereka tidak menyudahkan bacaan beberapa halaman al-Quran setiap hari, selagi itulah mereka tidak dibenarkan bermain atau membuat aktiviti lain. Selagi mereka tidak menyempurnakan ibadah solat dengan mengikut bacaan yang saya ajarkan dengan jelas, selagi itulah rotan bergoyang di tangan,” katanya.

Jelasnya, sepanjang tiga tahun di UK dia melihat kebanyakan ibu dari Malaysia membawa buku teks Matematik dan Sains agar anak dapat membuat latihan supaya memudahkan mereka apabila menyambung pelajaran sekembalinya ke Malaysia nanti.

Berbeza bagi Siti Nadzrah apabila dia membawa bekal buku Iqra’ dan muqaddam untuk mengajar anak mengenal alif, ba, ta dan membaca al-Quran. Buku lain tidak diberi keutamaan kerana dia yakin mereka masih boleh mempelajarinya pada kemudian hari.

Anak sulung jadi ikutan

Menjadikan anak sebagai huffaz profesional bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan perancangan rapi terutama memilih pendidikan terbaik untuk mereka. Untuk itu dia memilih menghantar anaknya belajar di sekolah beraliran agama supaya mereka terbiasa dengan persekitaran yang positif.

Sekolah pula memainkan peranan memperkukuh keperibadian anak untuk terus mantap dalam pendirian, mempunyai akidah yang tepat dan arah hidup yang jelas.

“Sepanjang persekolahan sehingga ke usia 15 tahun, di samping mempelajari subjek akademik, anak saya juga belajar kemahiran hidup, kemahiran bermasyarakat dan terbabit dalam aktiviti kejiranan dan masjid. Jadi apabila mereka mulai menghafaz al-Quran pada usia 16 tahun, mereka sudah matang dan dapat mengaplikasikan pemahaman isi al-Quran ke dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain itu, dia akur didikan untuk anak pertama harus sempurna kerana anak sulung berperanan membantu mencorakkan kehidupan adik yang lain. Apabila anak sulung berjaya dari segi akademik dan akhlak, adik cenderung mengikuti jejak mereka untuk sama-sama berjaya. Nasihat dan bimbingan anak sulung, Aiman kepada adik sentiasa dititipkan supaya mereka juga berjaya seperti dirinya.

“Saya perhatikan Aiman sentiasa bersema­ngat mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sejak sekolah rendah. Aiman juga sentiasa memastikan persediaan rapi dibuat sebelum peperiksaan, alatan menulis lengkap di hari peperiksaan, tangan ibu dicium sebelum keluar rumah dan membaca doa sebelum membuka kertas peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan keluar, Aiman mengingatkan dan memastikan saya pergi ke sekolah untuk mendengar sendiri daripada guru kelas mengenai prestasi pelajarannya dan adik serta aktiviti lain di sekolah,” katanya.

Malah Aiman bertegas memasuki Maahad Tahfiz sepenuh masa selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Walaupun pada mulanya Siti Nadzrah bimbang sekiranya dia terkandas dalam pelajaran atau lambat hendak mengejar balik bidang akademik, Aiman memujuk untuk merestui hajatnya kerana khuatir menjadi terlalu lewat baginya untuk melengkapkan diri sebagai seorang huffaz.

“Merestui keinginan Aiman, saya membuat permohonan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan sementara pembelajaran akademiknya bagi memberi tumpuan 100 peratus kepada hafazan al-Quran. Ketika itu usia Aiman 16 tahun. Sebaik saja tamat menghafaz 30 juz al-Quran, Aiman kembali semula meneruskan pembelajaran di sekolah biasa,” katanya.

Dengan kejayaan ditunjukkan Aiman, ia berjaya diikuti adiknya yang lain. Seorang demi seorang iaitu Syamil, Irfan, Farhan dan Suhayl mengikuti jejak langkah Aiman dengan menjadi huffaz selepas PMR pada usia16 tahun.

Walaupun program hafazan yang disediakan di Maahad Tahfiz selama dua tahun, memandangkan kelima-lima anaknya menghabiskan hafazan lebih awal, mereka dapat mengulangi hafazan beberapa kali untuk lebih mantap. Aiman berjaya menjadi huffaz dalam masa 10 bulan manakala adik-adiknya ada yang lima bulan, lapan bulan dan setahun lebih.

“Saya sangat gembira kerana Allah memudahkan urusan. Dalam keadaan kawan mereka menghabiskan setengah tahun silibus persekolahan, Aiman dan adiknya dapat mengejar balik pelajaran yang tertinggal dan memperoleh keputusan cemerlang pada hujung tahun. Saya kira otak mereka menjadi seperti span yang meresap segala bentuk ilmu dengan mudah sekali kesan daripada menghafaz al-Quran. Malah mereka semua mendapat kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan semua mata pelajaran A,” katanya.

Di samping dia, juga memastikan anak sentiasa mengulang hafazan, mengambil makanan sunah daripada sumber rezeki halal, menjaga hubungan dengan Allah dan mengelak daripada hiburan yang menyebabkan lalai. Kelima-lima mereka juga dihantar ke kelas mental arithmetic bagi menggilap potensi minda dengan pengiraan kaedah sempoa.

“Saya dapati selepas kelas ini daya ingatan mereka lebih tinggi, fokus mereka lebih tajam dan mereka dapat menghabiskan hafazan 30 juz dalam masa kurang daripada setahun,” katanya.

Selepas tingkatan lima sementara menunggu keputusan SPM, Aiman menyatakan hasrat mendalami bahasa Arab di negara Arab. Siti Nadzrah mencadangkan supaya belajar di Kelantan memandangkan kos lebih murah, tetapi Aiman memberitahu tempoh lima hingga enam bulan tidak mencukupi untuk memantapkan bahasa Arab di Malaysia kecuali pergi ke negara yang bahasa ibundanya bahasa Arab.

“Jadi, saya membenarkan Aiman ke Sana’a, Yaman mengikuti kelas bahasa Arab di Universiti Iman dan sekembalinya ke Malaysia enam bulan kemudian, dia sangat fasih berbahasa Arab. Melihat kejayaan Aiman, adik yang lain turut ke Yaman sebaik tamat tingkatan lima,” katanya.

Lebih menggembirakan sekembalinya di Malaysia, mereka memilih bidang yang menjadi pilihan sendiri. Aiman berjaya menjadi peguam, Syamil dan Irfan bertugas sebagai doktor manakala Farhan dan Suhayl menubuhkan syarikat sendiri dalam bidang motivasi. Apa yang penting mereka bergelar profesional Muslim, boleh berbahasa Arab dan pada masa masa, seorang huffaz.

“Inilah yang saya harapkan untuk menyemarakkan minat menghafaz al-Quran ke seberapa ramai anak agar dapat menghasilkan seramai mungkin profesional huffaz di Malaysia. Namun sebenarnya tiada jalan pintas dalam menghasilkan profesional huffaz dan juga tidak terhasil melalui ‘magic wand’ atau kaedah ‘Touch & Go’.

“Semuanya memerlukan perancangan rapi, usaha gigih dan doa yang tidak pernah putus. Sebagai ibu bapa kita harus menggembleng tenaga mengembalikan anak lelaki sebagai wira yang mampu menjadi pemimpin yang adil. Hanya dengan ilmu dan al-Quran dapat direalisasikan impian ini,” katanya.

Ingin lahirkan lebih ramai profesional huffaz (profazz)

Menyedari cara didikan yang diberikan oleh Siti Nadzrah mampu melahirkan profesional huffaz, kelima-lima anak ini komited menubuhkan Profazz bertujuan mencetuskan revolusi melahirkan lebih ramai golongan profesional huffaz dalam kalangan masyarakat.

Untuk itu, mereka percaya gabungan dua elemen secara seiring iaitu profesional dan huffaz mampu membangunkan jati diri untuk generasi akan datang.

Jelas Farhan Salmi, profesional huffaz perlu lebih ramai dilahirkan dalam masyarakat bagi menyelesaikan semua masalah sosial yang ada. Golongan profesional perlu menjadikan al-Quran sebagai teman dan menjiwainya supaya mereka tidak melakukan perkara yang salah dan mendapat kemurkaan Allah.

“Untuk itu, Profazz mengadakan pelbagai program di sekolah untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai teknik hafazan serta menyuburkan rasa cintakan al-Quran,” katanya.

Pada masa sama, Siti Nadzrah turut berkongsi dengan pembaca apabila buku pertama berjudul Profazz akan berada di pasaran tidak lama lagi. Ia pengalaman Siti Nadzrah sendiri mendidik anak menjadi profesional huffaz berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 7:53 AM