BUKAN saja membabitkan al-Quran, tetapi akhlak dan ibadah.
BUKAN saja membabitkan al-Quran, tetapi akhlak dan ibadah.

Selain Semenanjung Malaysia Raudhatul Huffaz (RH) juga kini membuka empat cawangan di Sabah. Berbeza dengan Semenanjung Malaysia, cabaran di Sabah sangat besar kerana ramai dalam kalangan mereka fakir miskin serta mualaf yang memerlukan proses pendidikan al-Quran dengan cepat.

Menurut tenaga pengajar Raudhatul Huffaz (RH) Siti Nor Azizah Abdul Majid, berdasarkan pemerhatiannya pengislaman masyarakat di Sabah kebanyakannya tidak secara menyeluruh atau boleh dikatakan bersifat ‘touch n go’. Ia berlaku mungkin disebabkan kekangan tenaga pengajar dan kewangan.

“Kebanyakan masyarakat Islam di Sabah tinggal di kawasan pedalaman yang tidak ramai guru agama sang­gup ke kawasan itu disebabkan sistem pengangkutan yang teruk. Namun, ini tidak boleh dijadikan alasan kerana jika kita tidak membantu, siapa lagi yang mahu membantu mereka. Sebab itu, kami harus cepat memperkenalkan modul pengajian al-Quran untuk mualaf di Sabah supaya ilmu yang diperoleh dapat diamalkan secara berterusan,” katanya yang menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak fakir miskin dan mualaf di Sabah menerusi sumba­ngan penaja.

Bagi pelajar jurusan sarjana Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Hamzah, kerjaya sebagai guru bermula selepas menjadi fasilitator untuk satu program sains. Melihat kredibiliti dan kesungguhan ditunjukkan ketika berdampingan ­dengan anak kecil, Siti Fatimah ditawarkan sebagai tenaga pengajar di RH.

“Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang al-Quran, peluang yang diberikan ini tidak akan saya lepaskan kerana saya berasakan inilah peluang untuk saya memperbaiki diri dalam bidang tajwid dan hafazan. Pada masa sama, saya mengikuti kelas al-Quran bagi mempertingkatkan bacaan agar dapat disampaikan kepada anak kecil pula,” ujarnya.

Menyedari sifatnya yang gemarkan kanak-kanak, ia tidak menjadi masalah bagi Siti Fatimah melayan kerenah mereka ketika di dalam kelas. Pada usia empat sehingga enam tahun, anak mudah diajar dan menghafaz al-Quran. Mereka juga senang menerima apa yang disampaikan oleh guru.

Dia yang turut menjadi tenaga pengajar di PPRT mengakui, bukanlah menjadi masalah mengajar anak ini kerana semua mereka dilahirkan bijak dan orang di sekeliling merekalah yang mampu mencorakkan masa depan anak kecil ini.

“Apa yang membezakannya ialah cara pengajaran terutama untuk kanak-kanak dan juga anak remaja. Mereka mempunyai karakter berbeza. Anak ini berjiwa lembut dan sentiasa bersikap jujur. Bagi anak remaja pula saya menjadikan mereka seperti kawan sehinggakan mereka berasa selesa meluahkan masalah dan bercerita.

“Apabila wujud komunikasi dua hala ini pengajaran menjadi lebih berkesan,” katanya yang sentiasa memperbaiki bacaan dan memperhalusi ibadah setiap pelajar supaya mereka berterusan melakukannya.

Bagi mereka yang berminat menaja kanak-kanak fakir miskin dan mualaf boleh memberikan sumba­ngan RM50 setiap bulan atau RM300 selama enam bulan atau RM600 setahun menerusi Kelab Raudhatul Huffaz atau menghubungi Husna di talian 013-2451603.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:00 AM