Kuala Lumpur: ACWA Power yang berpangkalan di Arab Saudi tidak dijemput 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk membuat sebarang tawaran akhir serta tidak termasuk sebagai pembida yang disenarai pendek.

“ACWA Power berminat untuk membida stesen janakuasa milik 1MDB,” kata syarikat itu dalam kenyataan, di sini, semalam.

Laporan media baru-baru ini menyatakan, 1MDB menyenarai pendek pembida termasuk ACWA Power bagi mengemukakan tawaran akhir untuk stesen janakuasanya.

ACWA Power adalah pemaju, pelabur, pemilik bersama dan pengendali satu portfolio janakuasa dan kilang penghasilan air yang dinyahgaram.

Ia kini beroperasi di 12 negara di Asia Barat, Afrika Utara, Selatan Afrika dan Asia Tenggara.

Portfolio ACWA Power dengan pelaburan lebih AS$26 bilion boleh menjana 16.9 gigawatt tenaga dan menghasilkan 2.5 juta meter padu air yang dinyahgaram sehari.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:27 AM