MENTERI Tenaga Ontario, Todd Smith mengumumkan projek baharu dilaksanakan Bruce Power. FOTO Bruce Power/ Facebook
MENTERI Tenaga Ontario, Todd Smith mengumumkan projek baharu dilaksanakan Bruce Power. FOTO Bruce Power/ Facebook
Agensi

Toronto: Sebuah syarikat utiliti Kanada sedang memulakan kerja peluasan loji nuklear berpotensi terbesar di dunia selepas permintaan untuk tenaga bersih yang merangsang minat terhadap tenaga atom semakin meningkat.

Menteri Tenaga Ontario, Todd Smith berkata, Bruce Power akan menjalankan penilaian alam sekitar untuk menambah sebanyak 4.8 gigawatt kapasiti ke kilangnya di wilayah paling ramai penduduk di Kanada.

"Penjanaan nuklear baharu akan menjadi kritikal untuk membina grid bersih masa depan," katanya seperti dilaporkan Bloomberg.

Lapan reaktor loji itu kini mempunyai kapasiti kira-kira 6.2 gigawatt dan membekalkan 30 peratus kuasa wilayah itu.

Peluasan itu akan menjadikan tapak itu lebih besar daripada loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa di Jepun, yang terbesar di dunia. Ia mempunyai tujuh reaktor dan kapasiti lebih 8 gigawatt.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah peningkatan pengiktirafan, kuasa nuklear bebas karbon berkemungkinan memainkan peranan penting dalam perjuangan global menentang perubahan iklim.

Kanada sedang membangunkan rancangan untuk memberi mandat grid kuasa bersih-sifar menjelang 2035, dan projek Bruce Power akan menjadi loji nuklear konvensional pertama di wilayah itu dalam tempoh tiga dekad.

Satu lagi utiliti di rantau ini, Ontario Power Generation turut terbabit dalam usaha untuk membangunkan jenis reaktor termaju baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 10:07 AM