ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan malam tadi. FOTO Mohd Fadly Samsudin
ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan malam tadi. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Seramai 32 wanita warga asing ditahan dalam serbuan Op Noda di pusat spa sebuah hotel di Bukit Bintang malam tadi.

Serbuan bermula 9 malam itu dilakukan pegawai dan anggota Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman bersama D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Operasi, Deputi Superintendan Mohd Sukri Abdullah berkata, pusat spa terbabit didapati menjalankan aktiviti pelacuran serta perjudian komputer.

"Dalam serbuan ini, pihak polis menahan wanita warga Indonesia seramai 17 orang, Vietnam (9), Thailand (4) dan Laos (2) berusia antara 21 hingga 35 tahun.

"Premis ini mempunyai lesen spa namun sudah tamat tempoh,"katanya.

Beliau berkata, turut ditahan seorang pelanggan spa warga Bangladesh, seorang pemain judi warga Indonesia dan enam pekerja lelaki.

"Pihak kami turut merampas sebanyak 1,460 kondom, 32 pelincir, tisu, tuala, wang tunai RM12,960 serta 14 mesin perjudian.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 1:32 AM