Pemandangan di jalan raya Sungapura yang kabur akibat jerebu hari ini. Indeks Kualiti Udara tiga jam Singapura mencatatkan  213 pada jam 4 petang hari ini. - Foto  REUTERS
Pemandangan di jalan raya Sungapura yang kabur akibat jerebu hari ini. Indeks Kualiti Udara tiga jam Singapura mencatatkan 213 pada jam 4 petang hari ini. - Foto REUTERS

Jakarta: Indonesia hari ini meminta Malaysia dan Singapura memahami usaha republik itu menangani isu jerebu yang semakin serius.

Ketua Staf Pejabat Presiden, Teten Masduki dipetik portal berita tempatan hari ini sebagai berkata, jerebu tidak dapat diselesaikan dengan cepat kerana kawasan kebakaran di ladang kelapa sawit dan tanah gambut itu sangat luas.

Teten berkata, pihaknya mengesahkan menerima nota bantahan daripada Malaysia dan Singapura mengenai isu jerebu di kedua-dua negara itu yang dikaitkan dengan aktiviti pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Katanya, kerajaan Indonesia tidak berdiam diri dan sedang mengambil pelbagai usaha untuk memastikan kebakaran seumpama itu tidak berulang.

Beliau juga berkata, Malaysia dan Singapura selama ini telah menikmati hasil hutan Indonesia bukan sekadar bahan baku produk industri malah keberadaan hutan Indonesia juga turut menyumbang oksigen kepada kedua-dua negara itu.

“Saya kira Singapura juga cukup menikmati selama ini bekalan oksigen dari Indonesia selama sembilan bulan dan kita tahu juga banyak industri kebun dieksport ke Singapura," katanya.

Singapura dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang yang boleh membawa kepada hukuman denda berat terhadap syarikat Indonesia yang bertanggungjawab membakar ladang dan hutan sehingga menyebabkan tahap kualiti udara tidak sihat di sekitar bandar raya negara itu.

Kerajaan Singapura dalam satu kenyataannya kelmarin berkata, lima syarikat Indonesia termasuk syarikat multinasional, Asia Pulp and Paper (APP) bakal menerima notis tindakan undang-undang.

Sementara itu, jerebu yang serius pada tahap berbahaya masih melanda wilayah Pontianak di Kalimantan Barat dan semua sekolah di daerah Palangkaraya di wilayah itu terpaksa ditutup hari ini.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pontianak adalah antara 750 dan 800 sejak tengah hari tadi.

Selain itu, daerah Pekanbaru di Riau masih dalam keadaan darurat jerebu dan menurut laporan berita televisyen tempatan, jarak ketampakan di Pekanbaru

sekarang hanya 100 meter dan bacaan IPU mencecah 858. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 9:26 PM