ANGGOTA sukarelawan mengedarkan topeng muka kepada orang ramai. - Agensi
ANGGOTA sukarelawan mengedarkan topeng muka kepada orang ramai. - Agensi
Agensi

JAMBI: Rafael yang baru berusia tiga tahun, terbaring di klinik kecemasan di sini, kerana demam dan batuk. Tahap oksigen kanak-kanak itu amat rendah menyebabkan dia tidak mampu mengangkat kepala.

Apa yang boleh dilakukannya ialah terbaring menunggu bekalan oksigen ditemani ibunya yang gelisah.

Jerebu tebal akibat kebakaran hutan di Sumatera menyebabkan ribuan kanak-kanak menghadapi masalah seperti Rafael.

Topeng muka tidak lagi berkesan bagi menapis habuk ketika Indeks Pencemaran Udara (IPU) sesetengah kawasan di Jambi dan Pekanbaru mencecah 700 bagi mengelak masalah paru-paru sebaliknya kerajaan Indonesia menubuhkan klinik kecemasan dengan bekalan oksigen.

Selain Sumatera, keadaan yang sama turut berlaku di Kalimantan dengan IPU melebihi 500.

Ibu Rafael, Yuli berkata, apabila anaknya itu mengalami masalah bernafas, dia mengejarkannya ke salah satu daripada 20 klinik kecemasan yang disediakan pihak berkuasa.

“Ketika di rumah, saya menutup semua tingkap dan pintu sepanjang masa. Mereka (anak-anak) tidak dibenarkan keluar.

“Saya amat bimbang dan berharap bencana ini berakhir segera. Kasihan anak-anak,” katanya kepada Al Jazeera.

PETUGAS memadam kebakaran hutan di Ogan Ilir, Sumatera Selatan.
PETUGAS memadam kebakaran hutan di Ogan Ilir, Sumatera Selatan.

Datuk Bandar Jambi, Syarif Fasha berkata, semua sekolah ditutup dan pihaknya memeriksa kualiti udara setiap 30 minit.

Menurutnya, sejak beberapa hari lalu, bacaan IPU mencapai sehingga 656 iaitu tahap amat berbahaya.

Beliau mengarahkan 100,000 topeng muka diedarkan dan setiap klinik di Jambi perlu menyediakan ‘bilik pemulihan’ untuk pesakit yang mengalami masalah pernafasan akibat jerebu.

Bilik itu ditutup rapat, dilengkapi pendingin hawa, kipas penyedut serta bekalan oksigen.

Ketua sebuah klinik, Dr Tety berkata, jumlah pesakit masalah pernafasan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu.

“Pesakit yang datang terus dibawa ke bilik kecemasan diberi ‘nebulizer’ dan oksigen. Mereka kemudian dibawa ke bilik pemulihan dan diberi oksigen berterusan sehingga pernafasan kembali normal,” katanya.

Namun, penduduk di luar bandar Jambi, terutama berdekatan kawasan hutan terbakar berasa diabaikan kerana tidak banyak atau tiada kemudahan seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 12:30 PM