Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Jakarta: Indonesia akan membina kilang-kilang kecil bagi memproses minyak sawit mentah dan minyak sawit merah (RPO) yang berasaskan koperasi, kata Menteri Koperasi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Teten Masduki.

Beliau berkata rancangan itu bertujuan untuk membantu petani kecil bebas yang selama ini menjual sawit kepada industri dan berhadapan dengan harga buah tandan segar (BTS) yang tidak stabil.

Ini sekali gus dapat meningkatkan bekalan RPO yang mengandungi protein dan vitamin A di pasaran yang berpotensi sebagai alternatif mencegah penyakit bantut dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu kenyataan, Teten berkata projek rintis akan mula beroperasi di beberapa kawasan termasuk di Sumatera dan Kalimantan pada Januari 2023.

Reka bentuk kilang yang sedang dilaksanakan Pusat Penelitian Minyak Sawit di Medan dijangka siap sebelum Ogos ini.

Kos pembangunan sebuah kilang dianggarkan 23 miliar rupiah (kira-kira RM6.8 juta) dengan pulangan pelaburan antara tiga hingga empat tahun.

Teten berkata kementerian menyasarkan pembinaan sebuah kilang kecil di setiap 1,000 hektar kebun sawit untuk memproses sehingga 10 tan RPO sehari.

Pembiayaan modal kerja, mesin serta peralatan dan pembangunan ladang akan disediakan kerajaan melalui agensi berkaitan serta bank-bank milik kerajaan.

Kilang-kilang itu kelak akan memperolehi BTS dari petani kecil bebas yang kini menyumbang 35 peratus kepada pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Indonesia, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 5:27 PM