ORANG ramai melihat papan layar elektronik yang menunjukkan beberapa penerbangan di LTAPP terpaksa ditangguhkan akibat jerebu. FOTO Mikail Ong
ORANG ramai melihat papan layar elektronik yang menunjukkan beberapa penerbangan di LTAPP terpaksa ditangguhkan akibat jerebu. FOTO Mikail Ong
ORANG ramai menunggu lebih dua jam selepas beberapa penerbangan di LTAPP ditangguhkan akibat jerebu. FOTO Mikail Ong
ORANG ramai menunggu lebih dua jam selepas beberapa penerbangan di LTAPP ditangguhkan akibat jerebu. FOTO Mikail Ong
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Lebih 500 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS),Subang terkandas lebih dua jam pagi tadi akibat cuaca jerebu di Subang.

Tinjauan Harian Metro di LTAPP mendapati beberapa penerbangan terutama membabitkan penerbangan Firefly dan Malindo Air, 8 pagi sehingga 10.30 pagi terpaksa ditangguhkan ekoran jarak penglihatan yang merosot akibat jerebu di LTSAAS.

Sumber berkata, penerbangan Malindo Air dari Pulau Pinang ke Subang bermula dari 8 pagi (OD1153) dan 9 pagi (OD1165) terpaksa ditangguhkan selama lebih sejam sebelum dibenarkan berlepas.

Katanya, ia berpunca akibat keadaan jerebu yang agak teruk di Kuala Lumpur mengakibatkan jarak penglihatan di LTSAAS agak terhad.

Menurutnya, bagaimanapun operasi penerbangan kembali pulih seperti biasa bermula 10 pagi dan penerbangan OD1177 dari Pulau Pinang ke Subang pada 1.45 petang berjalan mengikut jadual.

"Hanya penerbangan OD1171 dari Pulau Pinang ke Subang pada 2 petang terpaksa diubah waktu pada 3.50 petang dan penerbangan OD1155 pada 5.20 petang dijangka berlepas mengikut jadual," katanya.

Difahamkan, penerbangan Firefly juga melewatkan penerbangan mereka dan membabitkan satu penerbangan pada 8 pagi terpaksa dilewatkan selama sejam.

Operasi pelepasan penerbangan Firefly dari Pulau Pinang ke Subang kembali pulih semula pada 9.30 pagi namun terdapat beberapa pesawat yang dijangka tiba dari Subang ke Pulau Pinang akan tiba lewat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 3:38 PM