HUJAN lebat menyebabkan berlaku banjir kilat di ruang berlepas penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas. FOTO ihsan pembaca
HUJAN lebat menyebabkan berlaku banjir kilat di ruang berlepas penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas. FOTO ihsan pembaca
Mohamed Basyir


MALAYSIA Airport Holdings Bhd (MAHB) digesa segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

EXCO Pembangunan Pelancongan, Warisan, Budaya dan Seni negeri, Yeoh Soon Hin berkata, ia berikutan LTAPP memberi gambaran awal Pulau Pinang terhadap pelancong dan pengguna lapangan terbabit.

"Kejadian banjir kilat tidak seharusnya berlaku di LTAPP, yang antara lain akan memberi impak negatif dalam kalangan pelancong yang melawat ke negeri ini.

"MAHB perlu kenal pasti punca kejadian ini (banjir kilat) dan serius tanganinya supaya tidak terus berulang. Pihak berkenaan perlu mengambil langkah penyelenggaraan segera untuk memastikan fasiliti LTAPP dapat dimaksimumkan," katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian banjir kilat pada paras kira-kira 0.08 meter yang melanda LTAPP ekoran hujan lebat 8.30 pagi hingga 10 pagi, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim berkata, sistem perparitan dan tangki 'on-site detention' (OSD) berfungsi dengan baik ketika hujan, selain tiada penerbangan tertangguh ekoran kejadian berkenaan.

"Namun, terdapat kawasan parkir pesawat turbo prop dinaiki air setinggi buku lali akibat limpahan hujan dan memasuki ruang pelepasan untuk pesawat berkenaan.

"Ketika itu 28 penumpang pesawat Malindo Air OD1181 ke Subang dijadualkan berlepas pada 9.40 pagi, sedang bersedia untuk berlepas. Disebabkan ruang parkir pesawat pada masa itu penuh, penumpang penerbangan terpaksa meredah air untuk menaiki pesawat.

"Pesawat turbo prop lain yangg sepatutnya berlepas melalui pintu ini sudah dialihkan ke pintu lain. Tiada kelewatan besar yang berlaku semasa kejadian. Air surut apabila hujan berhenti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 9:42 PM