Mina: Keadaan di Mina kembali seperti biasa biarpun sedikit suram selepas tragedi rempuhan meragut lebih 700 nyawadan mengakibatkan 863 jemaah lain cedera.

Beberapa jemaah dilihat tidur di jalan utama dan jejambat selepas khemah mereka dialihkan bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat melakukan misi mengalihkan mayat.

Jemaah yang tidak terjejas dengan kejadian itu dilihat kembali melakukan aktiviti dijadualkan.

Jemaah dari Britain, Arshad Siddiqui, berkata walaupun sedih dengan kejadian itu tetapi ibadat mereka perlu diteruskan.

“Perasaan saya bercampur baur dan susah untuk ditafsirkan," katanya.

Jemaah dari Mesir Mohammed Abdel Jalil berkata, berat mata memandang berat lagi bahu memikul melihat suasana lokasi kejadian masih bergelimpangan dengan mayat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi Mejar Jeneral Mansour Al-Turki berkata, jemaah haji kini bergerak di setiap persimpangan jalan di Mina untuk melontar Jamrah. - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 12:48 PM