POTENSI industri komik online turut mampu lonjak ekonomi negara jika kena pada tempat dan idea seperti industri manga di Jepun.
POTENSI industri komik online turut mampu lonjak ekonomi negara jika kena pada tempat dan idea seperti industri manga di Jepun.
Oleh Afiq Hanif

Bukan lagi rahsia apabila zaman teknologi sedikit sebanyak menenggelamkan banyak seni yang suatu ketika dulu menggembirakan kita.

Terbaru kartunis Ubi atau nama sebenarnya, Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar menaip status beliau dalam laman sosial Facebook yang menyatakan majalah kegilaan suatu ketika dulu dan kekal bertahan, Ujang dan Apo? ditutup.

Ia berikutan penerbitnya MOY dikhabarkan gulung tikar.

“Akan tiada lagi majalah terbitan mereka di pasaran. Malang buat generasi akan datang kerana tak berpeluang lagi menatap dan mengenal majalah kartun legenda yang pernah menggegarkan dunia penerbitan suatu ketika dahulu.

“Paling sedih dan kasihan dengan pengkarya serta kartunis yang selama ini mencari rezeki di sana. Semoga keadaan bakal bertambah baik dan semoga nasib mereka akan terus dibela,” kata Ubi dalam statusnya.

Dunia penerbitan majalah humor di negara ini perlu berkembang pesat walaupun mendapat saingan hebat daripada penerbitan lain seperti majalah hiburan dan Internet.

Penerbitan majalah humor di negara ini tidak seharusnya berhadapan dengan masalah besar dari segi sambutan kerana ia mempunyai peminat sendiri.

Dunia humor memang mempunyai peminatnya yang tersendiri dan industri ini tidak perlu berkubur kerana orang ramai memang memerlukan bahan yang sesuai untuk merehatkan fikiran mereka.

Mungkin pada masa akan datang penyampaiannya berbeza berikutan perkembangan dari segi teknologi maklumat (IT) yang semakin canggih, namun untuk komik humor itu tutup disebabkan teknologi bukan alasan.

Sebelum berlaku evolusi digital termasuk penggunaan telefon pintar, penggunaan laptop berkuasa tinggi dan sebagainya dalam kalangan pengguna, anda dihidangkan dengan hobi yang mengusik jiwa dengan seni dipanggil komik.

Sebelum anda berjinak-jinak dengan telefon, komik antara ‘gajet’ pertama yang berada di tangan. Semuanya dibukukan dan ditempatkan di rak kedai sehinggakan kita sanggup berbelanja RM2 atau RM5 untuk membelinya setiap bulan.

Persoalannya, dengan kemajuan teknologi yang ada membabitkan aplikasi dan peranti mudah alih seperti tablet, adakah komik masih lagi relevan untuk dibukukan?

Sebelum ini juga, komik kanak-kanak tertua di United Kingdom (UK), The Dandy yang baru menyambut ulang tahun ke-75 membuat kejutan apabila mereka mengumumkan untuk menghentikan cetakan komik secara mingguan terbabit.

Penerbit mereka, DC Thomson mengesahkan berita itu dan memaklumkan mereka akan meneruskannya hanya secara online.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ellis Watson ketika mengulas mengenainya berkata, The Dandy akan diteruskan secara online buat kali pertama selepas ia mula dilancarkan pada 1937.

Secara purata, pengedaran komik terbabit berjumlah 7,489 naskhah setiap minggu yang dijual pada harga kira-kira RM10.

DC Thomson melancarkan versi komik digital menerusi sistem operasi iOS dikeluarkan Apple yang menjadi medium baru The Dandy.

Boleh dikatakan, komik menjadi medium grafik yang menempatkan susunan lukisan dalam petak menggambarkan peristiwa ingin disampaikan selain mengandungi belon berisi dialog bagi menghidupkan watak melalui ruangan terbabit.

Sejarah komik moden bermula di Barat, namun pada mulanya komik hanya disiarkan di akhbar harian de­ngan lukisan kartun mengandungi unsur jenaka dicampur kritikan berkaitan isu semasa.

Perkataan komik berasal daripada ‘comic’ dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ‘bersifat lucu’.

Selepas itu, ia diperluaskan dengan unsur aksi mula diterbitkan seperti visual terawal Superman, Batman dan Captain America.

Ekoran perkembangan pesat di Barat, kewujudan komik berkembang ke Asia pada Perang Dunia kedua dengan Jepun yang turut terpengaruh dengan budaya kartun itu berjaya mencipta ‘manga’ yang menjadi identiti gaya lukisan Jepun.

Perkembangan moden dengan penggunaan kertas akhbar ke kertas khas seterusnya diperhebatkan seiring dunia digital yang memperkenalkan pelbagai nama seperti komik Internet, komik online atau komik web.

Bagaimanapun, komik digital boleh dikatakan sebagai naskhah yang diterbitkan secara eksklusif untuk laman web.

Ia memudahkan akses untuk pembaca meneroka pelbagai bacaan dari mana saja di dunia ini yang menempatkan karya masing-masing dalam dunia digital masa kini.

Secara tradisionalnya, beberapa komik yang diterbit­kan melalui akhbar atau buku turut disimpan melalui arkib web.

Mengikut pemerhatian, tiada komik digital yang lahir selepas gelombang dunia digital dengan kebanyakan hasilnya adalah adaptasi daripada komik berbentuk fizikal yang popular pada masa kini.

Walaupun konsep komik digital membolehkan artis menghasil­kan karya masing-masing untuk diterbitkan dalam dunia digital yang sehingga kini menyaksikan sekitar 18,000 komik online, tiada siapa yang boleh memperkenalkan konsep sendiri.

Terdapat perbezaan antara komik dicetak secara tradisional dan komik digital termasuk penggunaan kertas, penambahan warna secara automatik dan sebagainya, namun boleh dikatakan kedua-dua kaedah terbabit mampu menarik masyarakat membacanya.

Seorang pelukis, Scott McCloud, dikatakan penganjur lukisan dengan memasarkan produknya secara online berdasarkan konsep ‘kanvas tanpa batasan’ yang seterusnya memberi idea kepada pelukis komik untuk melakukan idea sama.

Pelukis komik seperti Mark Fiore bersama karikatur berasaskan ‘flash’ dikenali suka bereksperimen dengan kaedah gabungan animasi dan interaktif.

Walaupun begitu, kebanyakan komik digital dipopularkan melalui cedokan komik tradisional sedia ada yang membawanya ke dunia maya seperti hasil Tatsuya Ishida melalui Sinfest dan PVP oleh Scott Kurtz.

Mereka cenderung menghasilkan komik secara tradisional dulu sebelum mengubahnya ke format online yang disebarkan kepada masyarakat.

Di sebalik senario itu, potensi komik digital membolehkannya dikemas kini dengan pantas dan memung­kinkan pelukisnya membina jaringan pembaca yang lebih besar serta disampaikan sepantas mungkin.

Antara komik online terawal di pasaran termasuk Mega Tokyo oleh Fred Gallagher dan American Born Chinese oleh Gene Yang muncul dalam bentuk online berbanding format tradisional.

Artis terbabit lebih memfokuskan kepada cerita dibandingkan dengan genre jenaka.

Sejumlah komik yang diterbitkan sendiri seperti Finder oleh Carla Speed McNeil dan Girl Genius oleh Kaja dan Phil Foglio dihentikan dengan penerbitan komik cetak secara tradisional ditukar sepenuhnya dalam bentuk komik online.

Usaha terbabit dikatakan mampu menarik minat khalayak kaki komik yang lebih besar.

Komik online yang dikenali kerana dibina arkib penting kadang-kadang boleh meneruskannya dengan penerbitan. Yang ada di buku komik ‘atau komik jalur’ bentuk sering diterbitkan dalam format aslinya, sedangkan seniman membuat komik online dengan format non-standard bermula diterbitkan mencari sedikit lebih keras.

Bagai cendawan tumbuh si komik digital menghasil­kan pelbagai komuniti online yang difokuskan pada dunia komik web.

Malah, terdapat penggemar komik memindah turun sendiri komik kegemaran mereka yang dimanfaatkan menerusi blog khas, ruangan forum dan sebagainya sehing­gakan pelukis komik sendiri mengakui ia sebagai masa depan mereka berbanding bentuk tradisional.

Sebahagian besar artis menjaga hubungan baik dengan peminat mereka melalui kaedah online dengan mencipta pertukaran ‘link’, e-mel dan forum untuk menambah kualiti komik yang semakin pesat.

Seperti yang sering dilalui aliran Internet, komuniti komik online sudah dikelilingi kontroversi bergantung kepada kepopularannya yang diselubungi kes membabitkan agama, budaya atau politik yang boleh diakses di seluruh dunia.

Pengeluar komik terkemuka, Marvel Comics turut mendapat tempias online apabila mereka melancarkan perkhidmatan Digital Unlimited beberapa tahun lalu yang menjadi sistem baru untuk pembaca membeli versi digital.

Sudah ribuan naskah digital membabitkan pelbagai genre dan karakter sudah diterbitkan.

Penerbit komik terunggul itu kini membuat persediaan besar memasarkan produk dalam bentuk digital yang disasarkan kepada pengguna moden.

Marvel membuat penampilan ciri khas iaitu fungsi panel pintar yang memiliki kemudahan zum tambahan, meminimumkan masa pindah turun serta memampatkan seberapa banyak komik sepantas mungkin.

Prestasi halaman turut meningkat sejak pelaksanaan rangkaian pelayan khas bagi membolehkan akses yang mudah.

Potensi industri komik online turut mampu melonjakkan ekonomi negara jika kena pada tempat dan idea­nya

seperti yang dapat disaksikan menerusi industri manga di Jepun.

Industri komik online mungkin boleh dipacu dengan kehadiran peranti tablet yang dipopularkan Android dan iOS sehingga mampu menarik perhatian penggemar komik lantaran kemampuannya bertindak sebagai e-buku.

Ia berasaskan keupayaan skrin sesentuh berbentuk tablet yang dikeluarkan pembuat komputer membolehkan pelbagai aplikasi termasuk komik online pada masa akan datang.

Mungkin, bekas pelukis handalan Ujang dan Apo? boleh bergabung di bawah satu bumbung online dan terus menghasilkan karya yang lebih mantap kepada peminat setia mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 2:16 PM