DE BRUYNE (kanan) rai jaringan bersama Sterling.
DE BRUYNE (kanan) rai jaringan bersama Sterling.
AFP

London: Pemain baru dibeli, Kevin De Bruyne sekali lagi menyerlah apabila membantu Manchester City membelasah Sunderland 4-1 sekali gus layak ke pusingan keempat Piala Liga, awal pagi semalam.

Permulaan cemerlang Citizens pada kempen Liga Perdana musnah selepas ditundukkan West Ham United 1-2 hujung minggu lalu tetapi anak buah Manuel Pellegrini itu bangkit penuh bergaya di Stadium of Light.

Mereka mendahului tuan rumah 4-0 sepanjang 36 minit pertama menerusi jaringan penalti Sergio Aguero, De Bruyne, gol sendiri penjaga gol Sunderland Vito Mannone dan gerakan pemusnah Raheem Sterling.

“Kami bermain baik, terutamanya di babak pertama,” kata Pellegrini.

“Di babak kedua, kami memperlahankan sedikit rentak permainan kerana yakin sudah menang. Bagaimanapun, saya gembira dengan cara kami memulakan perlawanan ini terutama selepas tewas dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana.

“Penting bagi kami untuk meneruskan perjuangan di dalam saingan ini dan memang bagus jika dapat bermain untuk menang sejak wisel permulaan. Kami menjaringkan empat gol menarik.”

Sunderland yang menduduki tangga terbawah Liga Perdana selepas tidak menang sepanjang enam perlawanan, cuba merapatkan kedudukan menerusi jaringan Ola Toivonen pada minit ke-83.

Sementara itu, dalam perlawanan lain, Andy King menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-116 bagi membolehkan Leicester City mengatasi West Ham United 2-1 manakala Everton bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Reading.

Bournemouth pula layak menerusi penentuan penalti selepas kedudukan seri 2-2 ketika menentang Preston North End sambil Peter Crouch menjaringkan gol kemenangan buat Stoke City yang menewaskan Fulham 1-0. Aston Villa mengatasi Birmingham City 1-0 hasil jaringan Rudy Gestede.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:43 AM