NAZURIA menunjukkan produknya  di Pavillion Malaysia yang mendapat sambutan daripada pengguna di China.
NAZURIA menunjukkan produknya di Pavillion Malaysia yang mendapat sambutan daripada pengguna di China.

Syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) di bawah Program Eksport Groom Big (Groom Big) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencatatkan prestasi positif apabila meraih pendapatan keseluruhan bernilai RM35.42 juta pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2015.

Pencapaian 19 syarikat PKS itu dianggap amat membanggakan berikutan ia adalah misi dan pameran perniagaan pertama Groom Big ke luar negara ditambah kebanyakan syarikat yang menyertai program itu tidak pernah menerokai pasaran China.

Pengarah Seksyen Pembangunan Perniagaan Bumiputera MITI Bahria Mohd Tamil berkata, semua syarikat yang menyertai CAEXPO 2015 amat berpuas hati dengan sambutan diterima daripada acara tahunan itu di mana rata-rata mencatatkan jualan produk yang amat baik.

“Kebanyakan syarikat berjaya menjual produk mereka sehingga habis pada hari ketiga iaitu sebelum acara ini berakhir lagi,” katanya pada sidang media bersempena hari terakhir CAEXPO 2015, baru-baru ini.

CAEXPO 2015 berlangsung daripada 18 hingga 21 September lalu bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Nanning, China di mana ia adalah acara anjuran China dan ASEAN bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan dari negara ASEAN ke China.

Beliau berkata, pihaknya merancang memohon lebih banyak dana tambahan bagi membolehkan lebih ramai usahawan menyertai CAEXPO 2015 pada tahun depan.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian usahawan Groom Big pada kali ini di mana dua daripada lima syarikat individu yang mencatatkan jualan tertinggi semasa CAEXPO 2015 adalah daripada program kami iaitu MyHaiz Sdn Bhd dengan jualan RM9.96 juta dan Lina Karmila Cookies (RM9.91 juta),” katanya.

Sementara itu, satu daripada syarikat Malaysia yang menyertai Program Eksport Groom Big ke China iaitu Pengasas Fikrisz (M) Sdn Bhd, Nazuria @ Ruseta Tajudin berkata, syarikatnya amat teruja menyertai CAEXPO 2015, sekali gus memberi peluang meneroka pasaran China yang dilihat sangat besar dan menawarkan potensi tinggi kepada pengusaha.

Menurutnya, Groom Big memberi peluang kepada syarikatnya untuk meningkatkan kapasiti ke pasaran domestik dan antarabangsa di mana beliau bermula daripada skala kecil iaitu rumah sehingga memiliki kilang sendiri dan berjaya mengeksport dengan Amerika Syarikat menjadi negara pengimport terbesar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:01 AM