PAVILION Malaysia dipenuhi pengunjung sempena CAEXPO 2015 yang berlangsung selama empat hari.
PAVILION Malaysia dipenuhi pengunjung sempena CAEXPO 2015 yang berlangsung selama empat hari.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 16 peratus kepada RM214.61 juta bagi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2015 berbanding sasaran jualan awal yang ditetapkan iaitu RM185 juta.

Pengarah Projek Pavilion Malaysia Caexpo 2015 Ong Yew Chee berkata, pencapaian itu banyak dipacu melalui kuasa pembelian yang masih kukuh dalam kalangan rakyat China meskipun dalam keadaan ekonomi yang dilihat berada pada kadar perlahan di negara terbabit.

“Sektor kesihatan dan kesejahteraan menjadi penyumbang utama kepada jumlah terbabit dengan jualan sebanyak RM116.94 juta diikuti sektor makanan dan minuman (RM77.96 juta), produk gaya hidup (RM11.07 juta), perkhidmatan francais (RM8.03 juta) dan lain-lain (RM608,495),” katanya pada sidang media CAEXPO 2015 di sini, semalam.

CAEXPO adalah acara anjuran China dan negara ASEAN yang mempromosikan produk serta perkhidmatan dari ASEAN ke China, kawasan perdagangan bebas China-ASEAN (CAFTA) selain meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dua hala antara China dan ASEAN.

Beliau berkata, MATRADE menganjurkan lebih 670 mesyuarat perniagaan bersempena CAEXPO 2015 dan 65 pembeli dijemput daripada daerah seluruh China seperti Guangdong dan Guangxi di samping mengadakan pertemuan dengan syarikat atas talian China seperti Jinbaomen Co Ltd untuk meneroka pasaran bandar kelas kedua di China.

“Selain itu, kami menganjurkan sesi perbincangan dengan syarikat tempatan untuk menggalakkan mereka menggunakan mata wang renminbi dalam transaksi perdagangan di China untuk menjimatkan kos perdagangan,” katanya.

Yew Chee berkata, kebanyakan syarikat yang menyertai CAEXPO 2015 berpuas hati dengan pulangan diperoleh melalui acara selama empat hari itu dan memohon untuk menyertai kembali acara tahunan terbabit pada tahun depan.

“Pada tahun ini, kami menerima 180 permohonan ruang pempamer daripada syarikat yang berhasrat menyertai CAEXPO 2015, namun ia terpaksa dihadkan kepada 146 sahaja. Oleh itu, kami bercadang untuk memohon ruang lebih luas kepada pihak penganjur pada tahun depan bagi memenuhi permintaan syarikat,” katanya.

Delegasi perniagaan Malaysia menyaksikan penyertaan kira-kira 400 individu di mana ia turut membabitkan tujuh agensi kerajaan dengan diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 5:02 AM