Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis mampu mencatatkan pertumbuhan jualan melebihi lima peratus bagi Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2015 berdasarkan potensi pasaran di China meskipun dalam situasi ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata keyakinan itu adalah berdasarkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus dalam jualan pada tahun lalu kepada RM168.57 juta berbanding RM158.24 juta pada tahun sebelumnya.

“Kami menjangkakan mampu mencapai jumlah jualan itu meskipun dalam keadaan ekonomi China yang berkembang dengan perlahan kerana negara itu dilihat sudah mengambil inisiatif untuk mewujudkan permintaan domestik di sana sekali gus membolehkan rakyat di sana terus membeli dan mengimport produk di pasaran,” katanya pada sidang media mengenai CAEXPO 2015.

CAEXPO adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan China dan negara Asean bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan dari negara Asean ke China di samping mempromosikan kawasan perdangangan bebas China-Asean (CAFTA) dan meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dua hala antara China dan negara Asean.

Pada kali ini, sebanyak 150 syarikat tempatan yang menawarkan produk dan perkhidmatan daripada pelbagai sektor seperti minuman dan makanan, hartanah, teknologi dan lain-lain berpeluang menyertai acara yang bakal diadakan daripada 18 hingga 22 September ini bertempat di Nanning, China.

Beliau berkata, penyertaan dalam acara itu adalah penting dan ia adalah sebahagian daripada aspek dalam perjanjian dua hala antara kerajaan Malaysia dan China di mana mereka bersetuju untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan sasaran jumlah dagangan sebanyak AS$160 bilion menjelang 2017.

“Pada masa ini, jumlah keseluruhan dagangan antara dua negara adalah sebanyak AS$102 bilion dan oleh itu, kami perlu berkerja keras untuk merealisasikan angka itu memandangkan negara itu menawarkan potensi dagangan dan memiliki saiz pasaran yang besar,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai CAEXPO 2015, Dzulkifli berkata kebanyakan syarikat yang menyertai acara itu adalah daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:02 AM