YANG (kanan) bersama Asnor  berbincang sempena promosi bergerak CAEXPO.
YANG (kanan) bersama Asnor berbincang sempena promosi bergerak CAEXPO.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Malaysia yakin mampu mencapai jualan lebih tinggi sempena penganjuran Ekspo China-ASEAN (CAEXPO 2015) yang bakal disertai 131 syarikat tempatan di Nanning, China pada 18 hingga 21 September depan.

Pengurus Kanan Unit Francais, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi China, Hong Kong dan Macau, Asnor Vidya Nor Azmi berkata, pihaknya optimis mencapai jualan antara lima hingga 10 peratus melebihi jumlah direkodkan dalam Caexpo tahun lalu iaitu sebanyak RM168.57 juta.

Menurutnya, Malaysia dijangka fokus kepada jualan dalam pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk gaya hidup, makanan dan minuman, kesihatan, francais serta pendidikan dalam ekspo itu apabila diiktiraf sebagai antara tiga ekspo terbesar di China selain Boao Forum dan Forum Ekonomi Dunia China.

“Ekspo ini diiktiraf sebagai platform berkesan mempromosikan kerjasama China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan selain menjadi titik permulaan pemimpin untuk bertukar idea bagi mengukuhkan ikatan ekonomi serta perdagangan,” katanya bersempena promosi bergerak CAEXPO 2015 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Sekretariat CAEXPO, Yang Yanyan.

Ekspo yang bertemakan ‘Bersama Membangunkan Laluan Sutera Maritim Pada Abad Ke 21 dan Mencipta Masa Depan Cerah Dalam Kerjasama Maritim’ adalah usaha mengumpulkan maklumat dalam koridor ekonomi, tapak perindustrian, projek tumpuan untuk pelaburan asing di negara Asean sekali gus mengukuhkan projek pangkalan data China-ASEAN.

Pada ekspo kali ke-12 itu, Thailand akan diraikan bersempena 40 tahun hubungan diplomatik dengan China selain Hong Kong diiktiraf sebagai Bandar Pesona China dan Republik Korea turut mengesahkan penyertaan sebagai negara jemputan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:52 AM