WAKIL syarikat tempatan membuat persiapan akhir di Pavilion Malaysia sempena CAEXPO 2015, semalam.
WAKIL syarikat tempatan membuat persiapan akhir di Pavilion Malaysia sempena CAEXPO 2015, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Nanning: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis mencatatkan peningkatan jualan sehingga 10 peratus kepada RM185 juta dalam Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2015 berbanding RM168.57 juta pada tahun sebelumnya.

Pengarah Projek Pavilion Malaysia CAEXPO 2015, Ong Yew Chee berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian sebelum ini selepas acara itu mencatatkan peningkatan jualan 8.4 peratus pada tahun lalu kepada RM168.57 juta berbanding RM158.24 juta tahun sebelumnya.

“Kami percaya mampu mencapai angka ini kerana kuasa pembeli di China sangat besar. Sektor yang disertai syarikat tempatan pada acara ini dilihat berpotensi dan bakal memberi sumbangan besar kepada jualan pada tahun ini,” katanya selepas meninjau persediaan syarikat tempatan di Pavilion Malaysia sempena CAEXPO 2015, di sini, semalam.

CAEXPO adalah acara tahunan anjuran kerajaan China dan negara Asean serta acara dagangan kedua terbesar di China yang mempromosikan produk dan perkhidmatan dari negara Asean ke China, mempromosikan kawasan perdagangan bebas China-Asean (CAFTA) dan meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dua hala antara China serta negara Asean.

Kali ini, 149 syarikat tempatan menyertai acara yang bakal bermula 18 hingga 21 September ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Dagangan Antarabangsa Nanning, China (NICEC) dengan kebanyakan syarikat terbabit dalam sektor utama seperti makanan dan minuman, sektor perkhidmatan seperti francais, hartanah, gaya hidup, kesihatan dan kesejahteraan.

Beliau berkata, CAEXPO 2015 bukan acara dagangan semata-mata kerana turut mempromosikan aktiviti pelaburan dan pelancongan untuk menarik minat syarikat China dan negara Asean melabur di Malaysia, selain penting kepada perjanjian dua hala antara Malaysia dan China. Kedua-dua negara menyasarkan jumlah dagangan AS$160 bilion menjelang 2017.

Menurutnya, Pavilion Malaysia di CAEXPO 2015 bakal menampilkan Melaka sebagai bandar tarikan dan komponen dalam sektor pelancongan bagi acara itu bertujuan menarik lebih banyak kunjungan pelancong dari China pada masa akan datang.

“Kami menerima penyertaan menggalakkan bagi Caexpo kali ini sehingga melebihi kuota ditetapkan iaitu 53 peratus daripada syarikat tempatan yang terdiri daripada syarikat baru dengan 93 peratus adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Matrade berhasrat untuk mempromosikan syarikat tempatan lebih agresif kepada pasaran kedua terbesar dunia meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 6:26 AM