ONG (tiga kanan) dan Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Bong Yik Jui (kiri), Naib Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Politik Rakyat Guangxi, Liu Zheng Dong (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Susila Devi melancarkan Pavilion Malaysia.
ONG (tiga kanan) dan Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Bong Yik Jui (kiri), Naib Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Politik Rakyat Guangxi, Liu Zheng Dong (dua kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Susila Devi melancarkan Pavilion Malaysia.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Nanning: Malaysia perlu memainkan peranan sebagai Pengerusi Asean untuk mempromosikan dagangan secara keseluruhan dan menjadikan negara sebagai gerbang ke pasaran Asean terutama bagi China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, langkah itu penting kerana Asean akan menjadi pasaran penting berdasarkan jumlah populasi penduduk yang tinggi iaitu 620 juta dan peningkatan kelas pertengahan serta kuasa beli pada masa akan datang.

“Kita harus memberi perhatian penuh dan sokongan kepada aktiviti membabitkan hubungan dua hala antara negara Asean dan China termasuk Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2015 iaitu acara penting bukan sahaja bagi negara Asean malah Malaysia,” katanya ketika melancarkan Pavilion Malaysia CAEXPO 2015, di sini, semalam.

CAEXPO adalah acara tahunan anjuran kerajaan China dan Asean yang mempromosikan produk dan perkhidmatan serta meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan dua hala antara China dan Asean.

Beliau berkata, perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencatatkan kira-kira AS$100 bilion sehingga kini dan menjangka ia meningkat daripada semasa ke semasa, sekali gus mencapai sasaran jumlah keseluruhan iaitu AS$160 bilion menjelang 2017.

Untuk mencapai sasaran itu, negara perlu memberi fokus kepada sektor baru seperti automobil, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, selain sektor konvensional seperti kosmetik serta makanan dan minuman.

Dalam perkembangan sama, pasaran China dilihat kukuh kerana memiliki bilangan penduduk mencapai 1.3 bilion dan dijangka tidak menjejaskan usaha negara mencapai sasaran.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat Malaysia iaitu Sofresh Marketing Sdn Bhd (Sofresh) dan syarikat China Guangzhou Ha Er Da Can Yin Fu Wu Co Ltd China.

Perjanjian itu membolehkan syarikat China itu mengeluarkan dan memasarkan jus Sofresh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 6:43 AM