Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Bukan isu besar lah”. Itu respon Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengulas kemelut yang melanda jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen ketika ini.

Menurutnya, bekas pemain nombor satu itu sendiri mengakui sememangnya wujud sedikit salah faham namun semuanya sudah dianggap selesai selepas kedua-dua belah pihak melakukan perbincangan sebelum ini.

“Saya ada bertanya dia (Chong Wei) mengenai laporan dalam berita mengenai hubungannya dengan Morten Frost, dan beliau kata tidak ada apa-apa masalah cuma dia minta supaya ada rakan sepelatih dibawa ke kejohanan luar negara dan itu permintaannya.

“Mungkin ada sedikit salah faham antara dia dengan Frost tetapi tidaklah sampai menimbulkan masalah hubungan antaranya dan Frost, ia sekadar salah faham biasa sahaja.

“Saya sudah mendapat jaminan daripada Chong Wei yang masalah ini tidak akan berlanjutan dan anggap perkara itu dah selesai selepas mereka bincang mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Jualan Hari Sukan Negara di Mid Valley Megamall, Bangsar, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Frost mengaku wujud sedikit perselisihan pendapat bersama Chong Wei selepas beliau tidak menyediakan rakan sepelatih untuk jaguh negara itu mempersiapkan diri menghadapi Siri Super Terbuka Jepun minggu lalu.

Namun ketika mendapat reaksi Chong Wei, dia hanya berdiam diri dengan tidak mengiyakan atau menafikan mempunyai masalah dengan Frost selepas tersingkir awal di Terbuka Jepun serta Terbuka Korea.

Tambah Khairy lagi, pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut memaklumkan dirinya agak kepenatan dan memerlukan rehat bagi mengembalikan semula sentuhan berbisanya.

“Chong Wei ada memaklumkan kepada saya mungkin dia rasa sedikit letih dan perlu sedikit masa untuk rehat sebab semenjak pulang dari penggantungan, dia tidak berhenti dan perlukan sedikit masa untuk rehat,” katanya.

Sementara itu, sempena Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini, Khairy membayangkan kementeriannya bakal menerima penyertaan hampir lapan juta rakyat Malaysia seluruh negara dengan menyediakan 9,500 program dan aktiviti pada hari berkenaan.

Bukan itu sahaja, sejumlah 12 rakan niaga runcit turut mengambil bahagian dengan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus bagi barangan sukan bermula semalam hingga 18 Oktober depan. Antara rakan niaga yang disenaraikan adalah Al-Ikhsan, Garmin, New Balance, Adidas, Reebok, RSH, Asics dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM