HUBUNGAN Frost (kanan) dan  Chong Wei kembali pulih seperti sedia kala..
HUBUNGAN Frost (kanan) dan Chong Wei kembali pulih seperti sedia kala..
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: “Saya bercakap dengan (Datuk) Lee Chong Wei setiap hari,” jelas Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen untuk membuktikan hubungannya dengan bekas pemain nombor satu dunia itu sudah kembali akrab.

Menurut Frost, semuanya kini berada dalam keadaan baik walaupun sebelum ini beliau mengakui pernah berbalah dengan Chong Wei ketika Siri Super Terbuka Jepun dan Korea Selatan bulan lalu.

“Apa yang berlaku hanya perkara kecil, semua sudah berakhir dan kami akan bergerak ke depan dengan menyelesaikan pelbagai masalah bersama,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM semalam.

Jelasnya, Chong Wei juga sudah mendapat rehat secukupnya selepas kembali daripada Terbuka Korea Selatan dan fokus untuk berdepan Siri Super Premier Terbuka Denmark dan Siri Super Terbuka Perancis bulan ini.

“Sebenarnya ramai peminat tidak faham. Memang sukar untuk menjadi individu seperti Lee Chong Wei terutama dari segi tekanan yang harus dia hadapi. Ramai beranggapan selepas digantung lapan bulan Chong Wei akan kembali sama seperti ketika dia bergelar pemain nombor satu dunia.

“Tapi tidak mudah untuk mencari kecergasan permainan dalam tempoh singkat. Chong Wei sudah berada di sana (nombor satu dunia) untuk tempoh lama dan secara tiba-tiba dia tidak beraksi lapan bulan, jadi sudah tentu rentak permainannya terjejas,” kata Frost.

Ujarnya, semua perlu menyokong Chong Wei dan membantunya mencapai peluang terakhir meraih pingat emas Sukan Olimpik 2016 Rio.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, mereka bersetuju jurulatih perseorangan, Hendrawan atau Tey Seu Bock akan menemani Chong Wei dalam setiap kejohanan disertainya.

“Dalam pada itu Frost juga akan mencari lokasi yang sesuai bagi pemain mengadakan latihan pusat sebelum temasya Olimpik 2016. Lokasi yang diputuskan adalah negara di benua Amerika Utara. Kita juga memandang serius mengenai persiapan Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Sasaran kita menjelang 2020 adalah menjadi tiga negara terbaik dunia dalam sukan badminton,” kata Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:08 AM