Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jadikan iktibar. Apa yang berlaku antara Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen dan Datuk Lee Chong Wei diharap tidak berulang demi kebaikan sukan badminton negara.

Menurut bekas pemain kebangsaan Datuk Seri Jalani Sidek, apa saja diperlukan Chong Wei sekarang ini harus dituruti dan permintaannya untuk menyediakan rakan sepelatih sebelum memulakan aksi di kejohanan utama tidak boleh dianggap keterlaluan.

“Sudah tentu penting (menyediakan rakan sepelatih), lagipun dia bukan minta benda yang bukan-bukan. Memang Frost mempunyai kuasa tapi beliau sendiri tidak boleh menjadi rakan sepelatih kepada Chong Wei kerana faktor usia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, pemain seperti Chong Wei sudah pasti memerlukan persiapan rapi sebelum memasuki gelanggang bagi memberikan aksi mantap.

“Jika kita tidak boleh membantunya, ia memang satu masalah. Dalam masa yang sama Chong Wei juga berdepan dengan tekanan dan tanggungjawab berat, jadi sudah pasti dia memerlukan komunikasi baik di luar gelanggang.

“Dia perlu sentiasa tenang untuk meredakan tekanannya kerana mahukan kemenangan. Jika tidak mahu menang dia tidak akan peduli mengenai rakan sepelatih.

“Jadi, tunaikan permintaannya jika tidak keterlaluan kerana kita juga mahukan kejayaan daripadanya,” kata Jalani.

Ujarnya, jika perkara kecil pun Frost mahu menunjukkan beliau mempunyai kuasa, ia boleh menyebabkan Chong Wei rasa tidak selesa dan tertekan.

“Saya harap perkara ini dijadikan iktibar, kerana kita semua mahukan yang terbaik daripada Chong Wei. Jika kita mahukan emas (Sukan Olimpik 2016 Rio) kita harus memberi sokongan seperti mahu memenangi emas. Jika sokongan setakat perak, maka pingat perak saja yang akan diraih.

“Tidak guna kita bergaduh, tapi berilah sokongan bagi meringankan beban Chong Wei,” kata Jalani yang pernah membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Jalani mengakui tahap permainan Chong Wei sekarang ini baru mencapai 75 peratus untuk menghampiri prestasi sebenar.

“Bagi saya dia masih mempunyai kekurangan terutama dari segi kecergasan perlawanan. Mungkin latihan untuk berdepan sesuatu pertandingan masih belum mencukupi. Perkembangannya kurang bagus dan permainannya juga agak perlahan.

“Mungkin corak latihan Tey Seu Bock berbeza berbanding jurulatihnya sekarang, Hendrawan. Dia masih lagi mencari keserasian. Corak permainannya juga berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:42 AM