MALAYSIA dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 apabila 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.
MALAYSIA dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 apabila 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.
Mahanum Abd Aziz dan Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat menumpukan perhatian kepada fenomena penuaan penduduk yang pesat berlaku di seluruh dunia.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, kesan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 apabila 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

Katanya, menjelang 2060, Malaysia dijangkakan mempunyai tiga individu dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada 2020.

Katanya, walaupun peningkatan jangka hayat antara penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.

"Antara cabaran utama adalah perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri.

"Segmen yang semakin berkembang ini terdiri daripada hampir empat juta pekerja dan berhadapan dengan risiko lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua akibat ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi," katanya ketika Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-11 2024 (ISWC 2024) di sini, semalam.

Ahmad Badri berkata, bagi menangani cabaran itu, kerajaan membantu dan meningkatkan simpanan persaraan sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.

Beliau berkata, selaras matlamat Ekonomi Madani untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada semua, KWSP meneroka inovasi yang boleh diaplikasikan ke atas skim KWSP bagi memberikan perlindungan persaraan lebih baik kepada sektor tidak formal.

Antara langkah terkini katanya adalah penstrukturan semula akaun KWSP pada fasa pengumpulan simpanan membabitkan semua ahli bawah umur 55 tahun yang memberikan fleksibiliti kepada semua ahli.

"Pendekatan ini membolehkan mereka menyimpan untuk persaraan dan pada masa sama, mempunyai akses kepada simpanan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Mengenai ISWC 2024, Ahmad Badri berkata, persidangan itu satu langkah mewujudkan sistem perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia lebih baik selaras peralihan Malaysia ke arah status negara tua.

Beliau berkata, keperluan membina sistem perlindungan sosial komprehensif dan mampan kini menjadi lebih mendesak dengan pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.

Pada tahun ini katanya, ISWC 2024 memberi tumpuan kepada pelbagai isu dan cabaran berkaitan penuaan penduduk dan persaraan, khususnya dalam menjamin pendapatan semasa usia tua.

"KWSP memahami bahawa pendekatan holistik adalah penting untuk memenuhi keperluan yang berbeza setiap lapisan masyarakat.

"Pembaharuan dan penambahbaikan dijalankan bukan sahaja mampu mengukuhkan sistem perlindungan sosial sedia ada, tetapi juga memastikan keterangkuman dan keselamatan lebih baik untuk rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:16 AM