NUR Nisha Nitasha (kiri) cekap menyediakan capati di Cheng Melaka.FOTO Nazri Abu Bakar
NUR Nisha Nitasha (kiri) cekap menyediakan capati di Cheng Melaka.FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ramai gadis seusianya melanjutkan pelajaran atau mencari pekerja bergaji tetap namun berbeza buat Nur Nisha Nitasha Zeeshan, 18, yang memilih untuk menjadi penjual capati sebagai kerjaya masa depan.

Terbabit dengan perniagaan diusahakan keluarganya itu sejak kecil, Nur Nisha mendakwa jatuh cinta dan berhasrat untuk meneruskan legasi perniagaan capati itu walaupun menyedari risiko bakal dihadapi.

Menurutnya, bermula dari adunan tepung, menguli doh, menggelek, membakar dan membungkus capati, semua itu berjaya dikuasai sejak sekolah rendah.

Baginya, dia mahu meneruskan menu enak capati lembut resepi ibunya, Dayang Suzana Ismail ,39 serta bapanya Zeeshan Ali, 45 yang berasal dari Pakistan.

Justeru, dia juga berhasrat membuka perniagaan sendiri pada masa depan dengan melebarkan cawangan kedai sedia ada di Cheng sini, ke daerah lain.

"Apa yang menggembirakan apabila sambutan diterima daripada pelanggan tetap memberangsangkan walaupun ketika Sekatan Penuh Pergerakan (SSP) ketika ini.

"Malah kaedah pemasaran secara atas talian turut mendapat sambutan dan membolehkan perniagaan ini beroperasi seperti biasa," katanya ketika ditemui tadi.

Sementara itu, Dayang Suzana berkata, dia gembira anak sulung daripada empat beradik itu amat cenderung untuk meneruskan perniagaan menjual capati itu.

"Nur Nisha sudah aktif memasak dan menjual capati sejak lebih lima tahun lalu dan mampu menghasilkan capati berlaukkan kuah kambing, ayam, daging cincang dan sardin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:34 PM