BLAUS koleksi ombre untuk penampilan lebih unik.
BLAUS koleksi ombre untuk penampilan lebih unik.
REKAAN lebih eksklusif menggunakan satin dull.
REKAAN lebih eksklusif menggunakan satin dull.
PELBAGAI gaya boleh dipadankan dengan blaus berkenaan.
PELBAGAI gaya boleh dipadankan dengan blaus berkenaan.
PELBAGAI gaya boleh dipadankan dengan blaus berkenaan.
PELBAGAI gaya boleh dipadankan dengan blaus berkenaan.
GAYA sederhana mengikut cita rasa remaja masa kini.
GAYA sederhana mengikut cita rasa remaja masa kini.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Pakaian yang mudah disuai padan, selesa dan boleh digayakan ke pelbagai majlis lebih menarik minat kebanyakan generasi muda terutama yang sibuk dengan aktiviti pengajian di universiti, kolej ataupun wanita bekerja.

Tidak mahu ketinggalan, butik secara dalam talian GC’s Store mengambil langkah berani dengan menampilkan rekaan blaus ala cape berpotongan kelawar untuk memberi idea kepada remaja bergaya feminin dan menarik.

Pemiliknya, Siti Nur Atiqah Abd Hamid akui lebih senang memberi fokus terhadap koleksi helaian yang praktikal dan tidak dijahit sepenuhnya kerana menganggap ia lebih praktikal untuk digayakan ke mana saja.

“Koleksi blaus konsep sama memiliki tiga jenis rekaan berbeza seperti polos, ombre dan pastel bagi memberi pelbagai pilihan kepada si pemakai.

“Bagi blaus polos, ia direka menggunakan fabrik satin dull sesuai untuk individu yang mahu menonjolkan penampilan lebih eksklusif ketika ke majlis istimewa kerana material pilihan itu sudah mempunyai ciri mewah.

“Lebih menarik apabila setiap helaian untuk koleksi ini tidak jarang dan mudah digayakan tanpa perlu mengenakan pakaian di bahagian dalam, menjadikan rekaan ini tampak lebih selesa,” katanya.

Untuk pilihan lain, gayakan koleksi ombre yang direka dengan kombinasi dua rona berbeza dalam setiap helaian bagi menampilkan keunikan bergaya.

Selain itu, terdapat juga koleksi yang didatangkan dalam warna pastel bagi gadis yang sukakan rona lembut untuk menonjolkan penampilan lebih feminin.

Pelajar tahun satu jurusan ijazah sarjana muda ekonomi berusia 20 tahun ini memulakan perniagaan secara dalam talian sejak di bangku sekolah iaitu ketika usianya sekitar 17 tahun.

Perniagaan bermula dengan menjual kasut yang ditempah dari Korea kerana ketika itu dia melihat gaya comel ditampilkan kebanyakan remaja di sana menarik perhatiannya untuk mencuba peluang berniaga.

“Kebanyakan kasut yang dijual berkonsepkan rona hitam dan putih kerana ketika itu gaya berkenaan banyak mencuri perhatian remaja di negara ini untuk mencuba penampilan unik dan berbeza.

“Selepas sekian lama menjual kasut yang dibeli daripada pengedar di negara berkenaan, saya cuba meluaskan perniagaan dengan menghasilkan sendiri rekaan blaus tanpa jahitan sepenuhnya yang berpotongan kelawar.

“Tanpa disangka ia berjaya diterima ramai pembeli dalam talian kerana mudah digayakan sama ada bersama celana denim atau skirt mengikut cita rasa dan lokasi yang ingin dituju,” katanya.

Bermula daripada memotong dan mengukur, semua rekaan dilakukan sendiri kerana dia memiliki asas jahitan yang dipelajari sendiri daripada ibunya yang juga mahir menjahit.

Disebabkan pakaian berkenaan tidak dijahit sepenuhnya, ia sesuai digayakan oleh sesiapa saja bermula daripada saiz S hingga XXL yang boleh didapati pada harga RM35 hingga RM45.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:08 AM