MADELYN bersama pekerjanya.
MADELYN bersama pekerjanya.
BERSAMA kasut dijual melalui laman beli-belahnya.
BERSAMA kasut dijual melalui laman beli-belahnya.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Pada usia kebanyakan remaja masih mengharapkan wang saku daripada ibu bapa untuk belanja di sekolah, Madelyn Chin, 21, boleh berbangga kerana menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan secara kecil-kecilan yang dijalankannya.

Bermula pada usia 14 tahun, gadis manis itu bukan saja tidak lagi memerlukan wang saku daripada orang tuanya, tetapi dia juga mampu membeli pelbagai barangan yang diingini melalui hasil jualan kanta lekap iaitu kira-kira RM1,000 sebulan.

Minat berniaga mula bercambah dalam diri sejak usianya 10 tahun kerana keinginan untuk membeli pelbagai barangan tanpa perlu berharap kepada orang lain.

Madelyn berkata, ketika masih bersekolah rendah, dia membeli pensel dan mengajak rakan sekolah membayar untuk menyertai cabutan bertuah dengan sesiapa yang berjaya akan mendapat pensil berkenaan.

Katanya, memasuki tingkatan dua pula, dia semakin serius mencari wang sendiri dan dibantu oleh ibu yang juga seorang akauntan, Madelyn membuat pesanan kanta lekap dari Korea sebelum menjualnya secara atas talian.

“Ketika masih bersekolah, banyak yang saya mahu, tetapi tidak dapat dibeli kerana tidak ada wang misalnya patung mainan Barbie dan telefon bimbit.

“Jadi apabila saya sudah dapat RM1,000 sebulan melalui jualan kanta lekap, saya gembira kerana dapat memenuhi impian membeli pelbagai barangan,” katanya yang turut memaparkan koleksi kasutnya di Instagram @happy2ucc.

Namun, dia tidak cepat berpuas hati kerana persaingan perniagaan kanta lekap yang sengit menyebabkan dia sukar menjana pendapatan lebih daripada RM1,000, sekali gus membuatkan Madelyn mencari peluang perniagaan dalam bidang lain.

Ketika usianya 15 tahun, dia mengambil keputusan menjual barangan kecantikan, tetapi setahun kemudian, dia mula berjinak-jinak menjual aksesori seperti kasut dan barangan perhiasan diri.

Melihat ramai berminat kepada kasut jualannya, Madelyn mula memberi tumpuan memperluaskan pasaran daripada kaum Cina kepada Melayu yang lebih gemarkan kasut berfesyen comel dengan harga berpatutan yang dijualnya melalui laman beli-belah talian miliknya sendiri, www.happy2u.my.

Pengasas Happy2u itu berkata, 95 peratus daripada pelanggannya kini terdiri daripada orang Melayu yang gemarkan fesyen kasut berbeza, berkualiti tetapi pada harga berpatutan.

Mempertaruhkan kasut dengan fesyen terkini dari China, tetapi mengikut aliran Korea, kasut yang

dijual Madelyn dengan pelbagai gaya mendapat sambutan hangat hingga mengejutkannya.

Lebih menarik, Madelyn yang masih muda kini sudah memiliki enam pekerja terdiri daripada usia 21 tahun hingga 26 tahun, bagi membantunya menjalankan perniagaan di pejabat di Kuantan, Pahang.

“Saya menganggap pekerja sebagai rakan dan mempercayai mereka. Sekiranya ada masalah, kami akan duduk berbincang dan mereka boleh datang berjumpa saya bila-bila masa untuk meluahkan masalah.

“Setiap bulan, saya akan memberi ganjaran kepada pekerja termasuk membawa mereka pergi melancong. Saya menghargai pekerja sebagai aset syarikat,” katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Kesibukannya berniaga juga bukan penghalang kepada gadis berwawasan ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Sunway dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan.

Menghabiskan masanya di universiti dari Isnin hingga Jumaat dan bergegas pulang ke Kuantan untuk melihat perjalanan syarikat setiap hujung minggu bukan suatu bebanan buat Madelyn, tetapi demi membina masa depan lebih cemerlang, dia berusaha menguruskan masa dengan baik.

“Ibu bapa sering memberi kata-kata semangat dan nasihat. Saya mahu membuat mereka gembira dan bangga selain mengurangkan beban keluarga kerana kami bukan daripada keluarga senang.

“Saya memasang impian menjadi usahawan berjaya di negara ini dan mahu membuktikannya. Saya memang suka bekerja dan boleh dikatakan saya seorang ‘workaholic’,” katanya.

Berkongsi impiannya, Madelyn merancang untuk menghasilkan kasut jenamanya sendiri dan memasarkannya hingga ke Indonesia sebaik tamat pengajian dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 11:09 AM