Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jurulatih Datuk Nicol David, Liz Irving (gambar kecil) yakin pemain itu akan kembali merampas kedudukan gelaran pemain nombor satu dunia daripada pemain Mesir, Raneem El Welily.

Raneem menamatkan penguasaan Nicol selama 109 bulan sebagai pemain nombor satu dunia bulan lalu namun Liz mengakui penurunan takhta itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya rasa perkara itu memang sudah dijangka oleh Nicol.

“Menjadi pemain nombor satu untuk tempoh yang lama adalah luar biasa. Dia begitu memberi fokus kepada tugasnya dan ia amat memberangsangkan dan saya tahu Nicol begitu bersemangat untuk kembali merampas gelaran nombor satu dunia.

“Sudah pasti Nicol tidak akan membiarkan perkara itu dan dia amat terdorong untuk bekerja keras dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang dan itulah sifatnya yang sentiasa dahagakan kemenangan,” katanya.

Liz yang pernah bergelar pemain nombor dua dunia mengagumi keazaman dimiliki Nicol dan menegaskan juara 79 kali dalam siri Jelajah Wispa itu mempunyai karakter hebat.

“Ia amat luar biasa (berada di ranking dunia selama sembilan tahun,” katanya.

“Saya bersama dengannya menempuh perjalanan itu dan dia seorang atlet yang memiliki semangat juang tinggi. Dedikasi, semangat dan disiplin sangat luar biasa. Dia pasti akan melebihi apa yang dijangkakan.

“Apabila kami mula bekerjasama, saya langsung tidak pernah termimpi dia mampu untuk melangkah sejauh ini iaitu menjadi pemain nombor satu untuk sekian lama,” katanya.

Usaha Nicol untuk kembali merampas gelaran nombor satu dunia itu gagal minggu lalu apabila dia tewas di tangan pemain berusia 17 tahun dari Mesir, Nouran Gohar pada suku akhir Terbuka China.

Bagaimanapun Liz percaya, perkara itu tidak akan menjadi batu penghalang buat Nicol malah pemain berasal dari Pulau Pinang itu berharap dia akan pulih daripada kekecewaan untuk mengejar kejayaan.

Nicol dijangka akan mengubat kekecewaan di Terbuka China itu pada Terbuka Macau dari 17 hingga 20 September ini dan akan menentang rakan senegara Delia Arnold pada pusingan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:40 AM