AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Victoria, semalam.
AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Victoria, semalam.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tidak berdepan masalah mara ke suku akhir Terbuka Qatar selepas mudah melepasi halangan Victoria Lust pada pusingan kedua, semalam.

Nicol hanya memerlukan 31 minit untuk menundukkan pemain England itu dengan kemenangan 11-5, 11-5, 11-5 di kejohanan yang menawarkan hadiah AS$115,000 (RM493,579).

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dilihat berada pada landasan terbaik untuk menebus kekecewaan kegagalan di dua kejohanan utama sebelum ini di Terbuka China selain gagal mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut di Terbuka Amerika Syarikat.

Menanti Nicol pada suku akhir pemain Hong Kong Annie Au yang sebelum itu menumbangkan pilihan ke-11 Jenny Duncalf 14-12, 12-10, 11-9.

“Perasaan yang hebat dapat kembali beraksi di sini. Semua seperti tidak asing buat saya. Tapi, saya dapat berasa seperti satu pertandingan baru,” katanya.

Nicol yang diletakkan pilihan kedua dijangka tidak berdepan masalah memburu tempat ke final dalam usahanya untuk kembali merampas takhta selaku pemain nombor satu dunia selepas tumbangnya Raneem El Welily pada pusingan pertama. Raneem ialah pemain nombor satu dunia ketika ini.

Menurut Nicol, dia perlu berhati-hati selepas ini dan perlu fokus terhadap permainan sendiri dan seterusnya mencatat kemenangan.

Mengulas mengenai perlawanan di suku akhir Nicol menjangkakan perlawanan menarik menentang Annie kerana pemain itu pastinya mempunyai misi untuk membalas dendam selepas tewas di Kejohanan Asia Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:00 AM